TERBANG di awan bagaikan burung.
SETIAP penerjun punya ragam tersendiri.
PENERJUN menjulang rakan sebelum mencampaknya dari ketinggian 300 meter .
ANTARA aksi ‘gila’ penerjun.
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Angin yang bertiup lembut, ditambah pemandangan kabur dek jerebu pasti memberikan rasa berbeza jika berada pada ketinggian 300 meter.

Tatkala kaki melangkah keluar ke pelantar terbuka di tingkat lima ‘kepala’ (TH05) Menara Kuala Lumpur, aksi berani mati kumpulan penerjun yang bergurau sesama sendiri dengan mencampakkan rakan dari ketinggian itu cukup meng­gerunkan.

Itu belum lagi pelbagai aksi ‘gila’ mereka ketika melakukan terjunan. Saat itu, sudah tidak dapat lagi membezakan jantina penerjun dek keberanian mereka terjun dari menara ketujuh tertinggi di dunia ini.

Takut memang takut. Tapi melihat keseronokan yang terpancar di wajah lebih 100 penerjun antarabangsa itu, peluang untuk duduk di hujung pelantar terbuka itu tidak penulis lepaskan.

Siap memakai abah-abah atau ‘harnest’ tatkala menunggu giliran, kaki mula terasa longlai. Perasaan pula bercampur baur.

Namun, apabila sudah selesa duduk dengan sebelah kaki di atas pelantar manakala sebelah lagi bergantung di udara, perasaan takut beransur hilang.

Apa yang dirasakan saat itu cuma keterujaan. Dari situ, penulis dapat melihat lebih dekat aksi mereka melakukan terjunan dengan melakukan pelbagai aksi sebelum membuka payung terjun dan mendarat.

Benarlah kata seorang penerjun wanita yang cukup ‘berhati kering’, Cynthia Carrie, 32, ketika melakukan terjunan, perasaannya berbeza dan sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Ada yang berpendapat itu kerja gila, tetapi ia memberi kepuasan yang tidak ternilai.

“Saya tak nafikan aktiviti ini berbahaya, tetapi dengan cara dan teknik betul selain payung terjun dipasang dengan sempurna ketika membuat terjunan, kita akan selamat,” katanya.

Mula menceburkan diri dalam terjunan BASE (Building, Antenna, Span and Earth) sejak dua setengah tahun lalu, Cynthia yang juga pengajar terjunan udara selama 13 tahun, pernah kehilangan seorang rakan menerusi acara sukan ekstrem itu.

Namun, kematian rakannya langsung tidak memberi sebarang impak kepadanya, malah minat terhadap sukan itu makin mendalam.

“Kehilangan kawan memang menyedihkan, tapi ia tidak meninggalkan kesan lama kepada saya.

“Ini kerana saya terjun untuk diri sendiri. Untuk merasai kebebasan terbang di udara seperti seekor burung,” katanya.

Mengulas keadaan berjerebu yang dialami di negara ini, Cynthia berkata, ia langsung tidak mengganggu dan menjadi halangan, sebaliknya dianggap cabaran kepada mereka.

“Jerebu menjadi cabaran kepada penerjun lebih fokus mencari tempat untuk mendarat.

“Ia juga menguji kebolehan dan membuktikan kami boleh terjun walau dalam apa keadaan sekalipun,” katanya.

Tidak menetapkan sasaran jumlah terjunan yang dilakukan sepanjang empat hari itu, Cynthia berharap dapat melakukan sebanyak mungkin terjunan.

Katanya, walaupun sudah membuat ratusan atau mungkin ribuan terjunan di serata dunia, ia belum memberi kepuasan kepadanya kerana setiap terjunan yang dilakukan adalah berbeza.

“Walaupun terjun di tempat sama berulang kali seperti di Menara KL, setiap terjunan memberi pengalaman dan aksi yang berbeza.

“Setiap terjunan dianggap proses pembelajaran kerana penerjun boleh mempelajari pelbagai teknik dan aksi terbaru selain dianggap pencapaian buat penerjun,” katanya.

Cynthia yang berasal dari Amerika Syarikat antara lebih 100 penerjun antarabangsa yang mengikuti KL Tower International Jump Malaysia (KLTIJM) 2015, baru-baru ini.

Acara tahunan edisi ke-15 ini ialah sukan ekstrem membabitkan terjunan menggunakan payung terjun untuk membuat lompatan. BASE mewakili objek yang biasanya digunakan sebagai landasan terjunan iaitu bangunan, antena, jambatan (span) dan bumi (earth).

Diadakan bagi mempromosikan industri pelancongan di Menara Kuala Lumpur serta sukan terjun BASE kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa, KLTIJM 2015 juga bertujuan memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terbaik di rantau ini.

Seperti tahun sebelumnya, KLTIJM 2015 mengadakan dua sesi terjunan iaitu pada waktu pagi bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

Terjunan malam pula bermula dari jam 8 hingga 10 malam yang ternyata memberi cabaran berlainan.

Seorang lagi penerjun, Rook Nelson, 35, dari Chicago, Amerika Syarikat berkata, pengalaman kali pertama terjun dari Menara KL memberikan pengalaman berbeza berbanding ‘sky diving’ yang sering dilakukannya.

Katanya, terjunan dari menara itu juga lebih tenang dan mendamaikan.

Pemandangan dari atas menara ini juga sangat menarik walaupun agak berjerebu.

“Berbanding ‘sky diving’, terjun di Menara KL mendamaikan dan tenang. Tiada bunyi enjin kapal terbang yang kuat seperti yang selalu dilalui,” katanya.

Kali pertama ke Malaysia, Rook cukup teruja dengan apa yang dimiliki negara ini.

“Malaysia banyak tarikan pelancongan yang menarik untuk diterokai. Selesai melakukan terjunan ini, saya akan melawat beberapa lokasi sebelum pulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 5:30 AM