WANITA banyak berkorban untuk jalani kehidupan di utara India.
KEKURANGAN wanita muda di utara India menyebabkan ramai lelaki terpaksa mencari calon dari negeri lain.
JUMLAH wanita bujang merosot di utara India disebabkan amalan pengguguran anak selektif.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Apabila Sadhuram Berwal menyatakan hasratnya mahu mendirikan rumah tangga, keluarganya mula bertanya kepada saudara-mara, jiran tetangga dan sami untuk mencadangkan nama calon untuk dirisik. Namun selepas meneliti wanita di daerahnya yang sama kasta dengannya, mereka tidak menemui calon yang sesuai untuknya.

Ya, mencari calon isteri kini menjadi perkara mencabar bagi lelaki di utara India termasuk di Haryana kerana nisbah lelaki-perempuan yang semakin kecil. Ini disebabkan amalan pengguguran anak selektif (menggugurkan kandungan jika jantina janin ialah perempuan) atas faktor ekonomi.

Melalui bantuan seorang kawan, akhirnya Berwal menemui wanita dari Kerala yang tinggal 2,700 kilometer di selatan dan sudi untuk mengahwininya, walaupun sedar cabaran dan kepayahan yang bakal dilalui kerana perbezaan bahasa serta budaya.

Keputusan drastik yang diambilnya 10 tahun lalu itu sebenarnya mengejutkan penduduk kampung Sorkhi, tetapi kini ia menjadi perkara yang semakin biasa apabila jumlah wanita bujang semakin menyusut.

Kehidupan di Sorkhi masih tidak berubah. Kerbau berehat di jalan dan wanita menaiki kereta lembu yang sarat dengan rumput untuk dijadikan makanan ternakan satu pemandangan biasa walaupun kampung yang mempunyai 7,000 penduduk itu 150 kilometer saja dari New Delhi.

Apa yang berubah hanyalah kemerosotan jumlah wanita muda, kata Om Prakash, guru bersara dan antara warga tua berpengaruh di kampung itu.

“Di Sorkhi saja, ada antara 200 hingga 250 lelaki muda yang mahu berkahwin, tetapi hasrat itu tidak dapat dipenuhi kerana mereka tidak menemui calon untuk dijadikan isteri,” katanya sambil dipersetujui beberapa rakan warga emas lain.

India mengharamkan ujian mengenal pasti jantina janin pada 1994 selepas mendapati ramai yang menggugurkan kandungan jika hamil anak perempuan. Malah tindakan doktor atau juruteknik yang melakukan ujian sonogram mendedahkan jantina anak dalam kandungan sebelum ia dilahirkan juga dianggap satu kesalahan di sisi undang-undang, namun ia masih dilakukan secara rahsia. Bahkan van perubatan yang menawarkan ujian pengesanan jantina janin masih bebas beroperasi khususnya di perkampungan terpencil.

Satu lagi faktor yang menyebabkan kekurangan wanita muda adalah wujudnya budaya pembunuhan bayi perempuan. Bancian menunjukkan Haryana ialah negeri di India yang mengalami ketidakseimbangan nisbah perempuan dan lelaki paling kritikal iaitu 834 kanak-kanak perempuan bagi 1,000 kanak-kanak lelaki berumur enam tahun dan ke bawah. Di seluruh India, nisbah ini juga menurun kepada 919 kanak-kanak perempuan bagi 1,000 kanak-kanak lelaki bagi kumpulan umur yang sama nisbah terendah sejak penubuhan India moden pada 1947.

Kebanyakan keluarga lebih memilih bayi lelaki dan bayi perempuan dianggap membebankan kerana perlu membayar hantaran kahwin yang biasanya termasuk peti sejuk atau motosikal sebagai tambahan kepada wang tunai dan emas. Walaupun undang-undang India kini tidak membenarkan penetapan hantaran perkahwinan atau dowri, budaya ini masih berterusan. Anak perempuan juga kurang disenangi kerana mereka akan berpindah sebaik mendirikan rumah tangga dan tidak boleh menjaga ibu bapa apabila tua kelak.

Dan kerana ketidakseimbangan inilah, keluarga yang mempunyai anak perempuan di Sorkhi kini menjadi semakin memilih.

“Kalau dulu, keluarga yang ada anak perempuan akan mencari calon suami dan cuba menarik perhatian mereka dengan menawarkan hantaran yang tinggi. Kini keadaan sudah terbalik. Keluarga perempuan yang akan meneliti latar belakang calon menantu mereka. Mereka mahu tahu jumlah tanah yang lelaki itu ada, apakah lelaki itu kakitangan kerajaan atau sama ada anak mereka akan hidup senang kelak,” kata Virender Berwal, kata seorang penduduk kampung.

Kedatangan isteri Berwal memulakan trend di kampung itu apabila semakin ramai yang mencari calon isteri dari Kerala, biasanya melalui kenalan atau berita dari mulut ke mulut. Wanita dari Bihar dan Bengal di timur juga menjadi pilihan.

Beberapa wanita Kerala memberitahu mereka bersetuju mengahwini lelaki Haryana untuk mengelak daripada perlu membayar wang hantaran yang semakin tinggi. Dalam perkahwinan itu, pihak lelaki bersetuju menanggung semua perbelanjaan perkahwinan dan tidak meminta sebarang wang hantaran.

Menurut aktivis, satu lagi sebab kekurangan wanita di negeri utara India seperti Punjab dan Haryana adalah kerana wujudnya pemerdagangan manusia perniagaan yang dilihat amat menguntungkan. Ejen pemerdagangan cuba memancing wanita dari beberapa negeri dengan menjanjikan pekerjaan dan calon suami, tetapi menjual mereka kepada broker di Haryana.

“Ramai wanita yang terpedaya,” kata Jagmati Sangwan, Setiausaha Agung Persatuan Demokratik Wanita All India. Statistik Biro Rekod Jenayah Kebangsaan India mendedahkan pada 2013, hampir 25,000 wanita berusia antara 15 hingga 30 tahun diculik dan dijual untuk berkahwin di tempat lain. Bulan lalu polis mematahkan cubaan menjual wanita muda kepada lelaki di Haryana.

Elak dowri tinggi

Wanita yang berpindah ke Haryana untuk berkahwin terutama dari selatan yang mempunyai kehidupan lebih baik terpaksa melakukan banyak penyesuaian. Anita, isteri Sadhuram Berwal contoh­nya tiba di Sorkhi ketika berusia 28 tahun. Dia bertutur dalam bahasa Malayalam, tidak fasih berbahasa Hindi dan langsung tidak faham bahasa penduduk tempatan, Haryanvi.

Suaminya, 35, yang bekerja sebagai pemandu trak pula sering tiada di rumah, membuatkan hidupnya amat sunyi dan sukar, katanya.

“Mujurlah jiran saya semuanya baik. Mereka ajar saya perkataan untuk barang keperluan harian seperti penyapu dan dapur. Ketika mula sampai di sini dulu, saya tidak boleh keluar, tidak boleh berhubung dengan sesiapa. Kini saya boleh bercakap dalam bahasa Haryanvi dengan baik, sefasih penduduk setempat sehingga ada yang tidak percaya saya berasal dari Kerala,” katanya dengan selendang panjang menutup sebahagian muka sambil menyediakan hidangan tengah hari untuk dua anaknya dan bapa mentua yang tinggal bersama mereka.

Jirannya, Sreeja Berwal (walaupun sama nama, tetapi tiada kaitan keluarga), memberitahu dia bersetuju berkahwin dengan lelaki Haryana kerana keluarganya berdepan dengan masalah kewangan yang meruncing. Bapanya buta kerana penyakit dan hilang pekerjaan.

“Saya ada empat beradik perempuan. Emak pula suri rumah. Jadi apa lagi yang boleh kami lakukan. Stigma mempunyai empat anak perempuan yang tidak berkahwin amat menekan perasaan emak. Apabila keluarga Birbal datang meminang, emak cakap saya sangat bertuah,” kata Sreeja.

Selepas melihat gambar masing-masing, kedua-dua keluarga segera menetapkan tarikh perkahwinan tanpa banyak soal - satu perkara biasa di India terutama jika jarak kampung tidak jauh.

“Bapa saudaranya bercakap dengan ibu saya melalui telefon. Kemudian mereka datang ke Kerala dan berjumpa kami sekeluarga. Dalam masa beberapa hari, kami dikahwinkan dan saya pindah ke sini,” sambungnya.

Lebih celik huruf

Dengan kadar celik huruf yang tinggi, wanita di Kerala mempunyai lebih kebebasan untuk bekerja dan memberi pandangan. Tetapi di Haryana dan negeri lain di utara India yang kurang membangun dan berpendidikan rendah, diskriminasi terhadap wanita masih tinggi. Kanak-kanak perempuan biasanya tidak mendapat makanan, pendidikan dan penjagaan kesihatan yang secukupnya. Pada masa sama, mereka perlu sentiasa patuh kepada lelaki.

Apabila berpindah ke Sorkhi, Sreeja menjadi wanita yang berpendidikan dan membolehkannya bekerja di bank pertanian tempatan, membantu penduduk kampung mengisi borang dan urusan lain perbankan. Namun dia juga perlu mematuhi budaya tempatan seperti memakai selendang apabila berada di tempat awam.

“Di Kerala, hanya wanita Muslim saja yang memakai selendang dan menutup muka mereka, tetapi di sini saya diberitahu semua wanita berkahwin perlu berbuat demikian,” kata Sreeja yang tidak menutup rambutnya ketika bekerja.

Jika dibandingkan dengan cuaca selatan yang sederhana, cuaca ekstrem di Haryana amat panas ketika musim panas dan dingin mencengkam pada musim sejuk juga menjadi cabaran besar buatnya. Keadaan di Sorkhi yang kini mengalami musim hujan dan panas, dengan bau najis kerbau semakin kuat, membuatkan Anita terkenangkan kampung halamannya.

“Ketika inilah saya sangat rindukan kampung halaman sendiri. Tetapi itu kehidupan lama saya,” katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 5:10 AM