KOTAK hitam dan serpihan pesawat Aviastar yang dibawa keluar oleh pasukan penyelamat.

Makassar (Indonesia): Pasukan penyelamat Indonesia semalam berjaya membawa keluar sebahagian mayat dan kotak hitam milik pesawat kecil yang terhempas di gunung Latimojong di Sulawesi Selatan.

Kotak hitam yang mengandungi perakam data penerbangan itu ditemui dalam keadaan baik dan diserahkan kepada pasukan penyiasat.

Pesawat Aviastar yang membawa tiga anak kapal dan tujuh penumpang termasuk seorang kanak-kanak dan bayi itu hilang selepas 11 minit berlepas dari Masamba menuju ke Makassar ketika cuaca baik pada Jumaat lalu.

Selepas tiga hari operasi mencari, pesawat malang itu ditemui terhempas di gunung Latimojong pada ketinggian 2,700 meter dari paras laut.

Semua mangsa dilaporkan terbunuh.

Sumber berkata, empat mayat dibawa keluar dari lokasi nahas dengan menggunakan helikopter.

Sehingga kini punca pesawat itu terhempas masih belum diketahui.

Terdapat laporan mendakwa pesawat itu tidak mengikut laluan yang ditetapkan sebelum terhempas, tetapi dinafikan Aviastar.

Sementara itu, polis meminta bantuan 18 doktor untuk membantu proses pengecaman mayat penumpang pesawat berkenaan.

“Kami mengambil 12 doktor dari hospital Bhayangkara dan selebihnya adalah doktor dari beberapa hospital di Makassar,” kata jurucakap polis, Raden Harjuno semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 8:29 AM