SEORANG pelajar menayangkan lambang HKU yang seolah-olah terbelah dua ketika menyertai bantahan.

Hong Kong: Kira-kira 2,000 penunjuk perasaan Universiti Hong Kong (HKU) berarak semalam bagi mendesak kebebasan pendidikan dalam pada kebimbangan semakin memuncak bahawa Beijing mencampuri sistem pendidikan bandar itu.

Pelajar dan golongan akademik semakin berang selepas pelantikan seorang pensyarah perundangan liberal untuk jawatan pentadbiran di sebuah universiti ditolak, minggu lalu.

Majlis universiti yang ramai ahlinya pro-Beijing menolak pelantikan Johannes Chan itu sebagai pro-naib canselor di HKU.

Chan adalah rakan baik kepada pemimpin prodemokrasi Benny Tai yang juga akademik di HKU. Tai memainkan peranan penting dalam tunjuk perasaan prodemokrasi besar-besaran di Hong Kong, tahun lalu.

Semalam, pelajar, pensyarah dan alumni HKU berpakaian serba hitam berarak mengelilingi kampus sebelum menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

Protes itu bersurai selepas setengah jam dan diadakan sekali lagi, Jumaat ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 8:20 AM