Reuters

Cardiff: Penyerang Real Madrid Gareth Bale (gambar) dinobatkan pemain terbaik tahunan Wales buat kali kelima oleh Persatuan Bolasepak Wales.

Bale yang menyarung jersi kebangsaan sebanyak 52 kali, menjaringkan gol tunggal ketika Wales menang 1-0 ke atas Belgium di Cardiff, Jun lalu dan turut meledak jaringan tunggal kemenangan ketika bertemu Cyprus pada kempen kelayakan Euro bulan lalu.

Kemenangan itu membolehkan Wales melakar peluang cerah untuk ke pusingan akhir kejohanan utama buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun.

Pemain berusia 26 tahun itu mengharungi kempen bergaya di Real Madrid apabila meledak gol kemenangan pada final Copa del Rey serta perlawanan akhir Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, Bale melalui musim kedua yang agak suram di Sepanyol apabila Madrid hilang mahkota Liga Juara-Juara kepada Barcelona dan dia pernah diejek penyokong sendiri di Santiago Bernabeu.

“Lihat aksinya tahun lalu apabila menjaringkan beberapa gol hebat buat kami,” pengurus Wales Chris Coleman dipetik media British sebagai berkata.

“Semua pemain melakukan yang terbaik tapi pada pendapat saya, dia lebih berhak diberikan penghormatan atas apa yang dilakukannya pada kempen kali ini,” katanya.

Wales ketika ini menduduki tangga kelapan ranking dunia yang juga pencapaian tertinggi mereka. Coleman bagaimanapun tidak tersinggung dengan kegagalan mereka mempelawa pasukan terkemuka untuk bermain dalam aksi persahabatan.

“Saya tidak tahu, mungkin juga,” kata Coleman apabila ditanya sama ada pasukan yang dimaksudkan takut untuk berdepan Wales.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 7:05 AM