MANGSA maut di tempat kejadian akibat tersepit.
MANGSA maut di tempat kejadian akibat tersepit.
Oleh Shamsul Munir Safini
am@hmetro.com.my


Arau: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang lampu isyarat di Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun berdekatan simpang tiga Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, menghala ke Changlun, Kedah, kira-kira jam 11 malam tadi.

Dalam kejadian itu mangsa Lim Wei Cheat, 18, maut di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian depan kereta ekoran rempuhan itu.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan menghala ke Changlun, Kedah melalui Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun sebelum terbabas dan merempuh tiang lampu isyarat di persimpangan politeknik berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya yang mendapat panggilan kecemasan pada jam 11.08 malam itu ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan lima anggota mengambil masa beberapa minit bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan difahamkan, keluarga mangsa yang berasal dari Pulau Pinang itu sudah dimaklumkan mengenai kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 1:10 AM