Oleh Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


Jertih: Anggota polis cedera ditikam dengan pemutar skru oleh pesakit mental yang mengamuk ketika mangsa cuba menahannya di Kampung Gong Resam, Pasir Akar di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, pesakit mental berusia 40 tahun bergelut dengan anggota polis yang cuba menenangkan bagi mengelak dia mencederakan orang lain.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, polis yang menerima maklumat daripada lelaki memaklumkan bapa saudaranya sedang mengamuk kerana masalah mental dan bergegas ke rumah berkenaan.

Beliau berkata, lelaki terbabit yang berada di luar rumah melarikan diri masuk ke dalam rumah selepas menyedari kehadiran polis.

"Ketika cuba menahannya, berlaku pergelutan antara anggota polis dan lelaki terbabit yang bersenjatakan pemutar skru menyebabkan anggota polis cedera di belakang badan sementara lelaki terbabit pula cedera di dahi kanan.

"Lelaki terbabit berjaya ditahan sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia. Punca kematian masih dalam siasatan" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 7:18 PM