Pengarah Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia, Bambang Soelistyo, menunjukkan peta lokasi bangkai pesawat ditemui. - Foto AFP/VNA

Makassar (Indonesia) Pasukan penyelamat Indonesia sudah menemui bangkai pesawat DHC-6 Twin Otter milik syarikat penerbangan Aviastar Mandiri yang hilang sejak Jumaat lalu.

Pesawat kecil itu membawa tujuh penumpang dan tiga anak kapal, terputus hubungan 11 minit selepas berlepas dari Masamba di Sulawesi Selaatan ke Makassar.

Pengarah Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia, Bambang Soelistyo, berkata bangkai pesawat itu ditemui semalam di kawasan pergunungan Daerah Luwu.

Pesawat yang membawa tiga kanak-kanak dan empat penumpang dewasa itu tidak membuat panggilan kecemasan.

Ketua Polis Luwu, Leftenan Kolonel Adex Yudiswan yang mengetuai 38 anggota penyelamat ke lokasi bangkai pesawat, berkata pesawat itu pecah dan ada bahagian masih terbakar.

“Kami menemui tiga mayat rentung, seorang budak dan dua dewasa,” katanya.

Pasukan itu meneruskan gerakan mencari hari ini, termasuk mencari kotak hitam pesawat. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 3:39 PM