Kuala Lumpur: PLUS Malaysia Berhad (PLUS), pemegang konsesi lebuh raya terbesar di negara ini, kini menawarkan harga istimewa dalam usahanya meningkatkan pembayaran tol secara elektronik di beberapa plaza tol di Selangor.

Di bawah promosi itu, orang ramai boleh mendapatkan kad Plusmiles Touch n Go pada harga RM5 di pusat khidmat pelanggan Plus di Plaza Tol Batu Tiga, Sungai Rasau, Subang dan Setia Alam sehingga Disember ini.

Di pusat khidmat ini juga, orang ramai berpeluang mendapatkan alat SmartTag pada harga istimewa RM99 berbanding harga asal RM120 tanpa perlu menambah nilai kad mereka.

Pengarah Urusan Plus, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata Plus juga menawarkan rebat tol sehingga 30 peratus bagi menggalakkan orang ramai menggunakan sistem bayaran elektronik di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau.

“Rebat tol 30 peratus diberikan kepada pengguna kenderaan kelas satu yang membayar menggunakan sistem elektronik pada waktu bukan puncak (10 pagi - 3.59 petang dan 10 malam - 5.59 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada waktu puncak 6 pagi - 9.59 pagi dan 4 petang - 9.59 malam), rebat tol 10 peratus diberikan kepada pengguna yang membayar tol secara elektronik. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 7:34 PM