Makassar, Indonesia: Pasukan penyelamat Indonesia sudah menemui rangka pesawat kecil membawa 10 orang yang hilang ketika melakukan penerbangan domestik, empat hari lalu.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan, Henry Bambang Soelistyo berkata, rangka pesawat berkenaan ditemui di dalam hutan di kawasan pergunungan di daerah Luwu.

“Pesawat itu ditemui dengan beberapa mangsa.

“Pasukan penyelamat tambahan juga dikerahkan ke lokasi itu,” kata Henry.

Pesawat DHC-5 Twin Otter terputus hubungan dengan menara kawalan, 11 minit selepas berlepas ketika cuaca baik di Masamba, Sulawesi Selatan pada Jumaat lalu.

Pesawat turboprop yang dimiliki Aviastar Mandiri itu dalam penerbangan biasa ke Makassar sebelum hilang.

Ketika kejadian, ia membawa tiga anak kapal dan tujuh penumpang termasuk tiga kanak-kanak.

Tiada isyarat kecemasan diterima dari pesawat terbabit.

Enam pesawat dan empat bot peronda turut menyertai operasi pencarian yang menyasarkan kawasan laut di antara dua semenanjung di selatan kepulauan Sulawesi.

Sementara itu, Henry berkata, usaha mencari yang dilakukan sepanjang hujung minggu lalu disukarkan dengan keadaan cuaca yang buruk.

Pesawat berusia 34 tahun buatan Kanada itu digunakan Aviastar pada Januari 2014 dan kali terakhir diselenggara pada 15 September lalu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 8:39 AM