ORANG ramai berusaha mengalihkan dahan kayu dari jalan di Maoming, wilayah Guangdong yang dibadai Taufan Mujigae.
Agensi

Beijing: Angin puting beliung yang dicetuskan oleh Taufan Mujigae yang melanda selatan China menyebabkan tujuh maut dan lebih 200 lagi cedera, lapor media semalam.

Taufan Mujigae melanda wilayah Guangdong kelmarin turut menyebabkan ratusan ribu penduduk terpaksa dipindahkan.

“Kematian dan kecederaan berpunca daripada angin puting beliung yang dicetuskan oleh taufan berkenaan,” lapor agensi berita Xinhua.

Kematian dan kecederaan penduduk dilaporkan di Guangdong dan juga wilayah Guangxi Zhuang.

Taufan itu menyebabkan bekalan elektrik dan komunikasi terputus manakala kawasan tanaman padi musnah.

Komunikasi yang terputus melambatkan lagi laporan mengenai kerosakan kepada pihak berkuasa.

Jabatan Hal Ehwal Awam Guangxi melaporkan, lebih 1.44 juta penduduk terjejas akibat taufan itu sejak tengah hari semalam.

Seorang mangsa yang maut dilaporkan dihempap pokok tumbang di Nanning, ibu kota Guangxi.

Taufan itu melanda ketika berjuta-juta penduduk China mengambil cuti panjang bagi menyambut cuti panjang sejak 1 Oktober lalu.

Ramai pelancong berkunjung ke pantai selatan negara itu yang lebih panas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 8:34 AM