SEORANG tentera Israel mengacu senjatanya untuk menembak penduduk Palestin yang menunjuk perasaan berhampiran penempatan Yahudi di Ramallah, Tebing Barat, semalam.
Agensi

Ramallah: Tentera Israel menembak mati seorang remaja Palestin berusia 13 tahun di sebuah kem pelarian di Baitullaham semalam ketika keganasan memuncak di timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat.

Abdel Rahman Abdullah ditembak di dada, kata sumber polis dan perkhidmatan kecemasan Palestin.

Dia ialah penduduk Palestin kedua ditembak mati oleh askar Israel sepanjang 24 jam semalam.

Terdahulu, seorang remaja berusia 18 tahun juga ditembak mati askar Israel.

Kejadian itu mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan keganasan akan meningkat selepas beberapa penduduk Yahudi dibunuh dan ratusan penunjuk perasaan Palestin cedera dalam keganasan sejak beberapa hari lalu.

Kedua-dua pembunuhan itu dilakukan sehari selepas Israel melarang penduduk Palestin memasuki Bandar Lama.

Tentera Israel berkata, ratusan penduduk Palestin menyerang mereka dengan bom minyak, tayar yang dibakar dan batu.

Persatuan Bulat Sabit Merah Palestin berkata, 456 penduduk cedera selepas ditembak tentera dan polis Israel sepanjang pertempuran beberapa hari lalu.

Presiden Mahmoud Abbas menuduh Israel sengaja meningkatkan ketegangan di Baitulmaqdis, khususnya di sekitar Masjid al-Aqsa.

“Israel mempunyai kepentingan dalam mencetuskan keganasan. Mereka sengaja mahu meningkatkan keganasan di perkarangan Al-Aqsa untuk mengelak kebuntuan politik dan pemencilan antarabangsa,” kata pemimpin Palestin itu.

Sebahagian besar keganasan baru-baru ini berpunca daripada ketegangan di perkarangan Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga paling suci umat Islam yang juga dituntut oleh penganut Yahudi.

Dalam perkembangan lain, Israel melancarkan serangan udara terhadap Semenanjung Gaza awal semalam selepas satu serangan roket dilancarkan dari wilayah Palestin itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 7:43 AM