Kuala Lumpur: Hasrat pemain skuasy wanita nombor satu dunia Raneem El Welily untuk merangkul juara Jelajah Dunia PSA buat kali kedua berturut-turut tidak kesampaian apabila dikejutkan dengan kekalahan 13-11, 4-11, 9-11, 5-11 kepada rakan senegara dari Mesir Nour El Sherbini pada separuh akhir Kejohanan Terbuka Carol Weymuller.

Raneem yang memenangi Terbuka China awal September lalu dan meraikan kejayaan merampas takhta pemain nombor satu dunia daripada ratu skuasy negara, Datuk Nicol David buat pertama kali dalam tempoh sembilan tahun itu tewas 1-3 kepada Nour yang berusia 19 tahun sekali gus menyaksikan usahanya untuk mempertahankan gelaran pemain nombor satu itu mula goyah.

Raneem bermula baik pada set pertama untuk menang 13-11 namun aksinya selepas itu bagaikan tidak kena apabila Nour mudah menguasai gelanggang untuk menang baki tiga set seterusnya.

“Saya begitu gembira menang perlawanan ini kerana Raneem idola saya,” katanya.

“Raneem mempunyai skil menarik dan dia cukup pantas serta layak bergelar pemain nombor satu dunia. Saya begitu gembira dapat memenangi perlawanan ini. Kali terakhir saya bertemu dengannya adalah tiga tahun lalu dan tewas 1-3.”

Menanti Nour pada perlawanan akhir ialah pemain New Zealand Joelle King yang menewaskan Joshana Chinappa dari India 11-4, 9-11, 11-4, 11-8.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 6:48 AM