Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Seremban: Seorang lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi selepas didapati bersalah membunuh bapa kandungnya, tahun lalu.

Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh, R Arumugam, 30, di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Zabariah berkata, mahkamah membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan serta hujah kedua-dua pihak dalam memberikan keputusannya.

Beliau berkata, mahkamah berpuas hati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sehubungan itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan membunuh bapanya, S Ramadas, 56.

Mengikut pertuduhan, Arumugam didakwa membunuh bapa kandungnya di 73A Kampung Kuala Lukut, Port Dickson, dekat sini, kira-kira jam 10 malam 10 Mac 2013.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farid Mohd Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam Ramzani Idris.

Harian Metro pada 12 Mac tahun lalu melaporkan, akibat pertengkaran mulut, seorang lelaki membelasah bapanya dengan kayu hingga cedera parah di kepala dalam kejadian di rumah mereka di 37A, Kampung Kuala Lukut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 3:33 PM