KANAK-KANAK daripada Kampung Mangkok menyertai acara mewarna pada Hari Pewanis.
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Memainkan peranan sebagai penjaga kawasan Tanah Bencah Setiu atau lebih dikenali sebagai Setiu Wetlands di Terengganu, Persatuan Wanita Kampung Mangkok Setiu (Pewanis) baru-baru ini menganjurkan Hari Pewanis untuk meraikan pencapaian ahlinya dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

Kejayaan ini dicapai menerusi Program Pembangunan Lestari Setiu iaitu usaha sama antara NestlÈ (Malaysia) Berhad dan WWF-Malaysia.

Pakatan yang dijalin sejak 2006 bertujuan memastikan penggunaan lestari dan pemuliharaan sumber semula jadi dan biodiversiti Setiu Wetlands, selain menaik taraf kehidupan masyarakat setempat. Menerusi projek ini, wanita tempatan diperkasa untuk menjadi penjaga tanah bencah dan memainkan peranan sebagai duta alam sekitar kawasan ini yang juga membolehkan mereka meningkatkan kemahiran keusahawanan menerusi aktiviti ekopelancongan.

Hari Pewanis diadakan di Rumah Merah Jambu, Pewanis di Kampung Mangkok. Penduduk sekitar turut hadir bagi memeriahkan acara termasuk murid sekolah dari SK Mangkok serta wakil dari NestlÈ dan WWF-Malaysia. Majlis ini mengetengahkan pencapaian, cabaran dan juga rancangan masa depan Pewanis berhubung isu pemuliharaan alam sekitar dengan matlamat untuk terus memperkasa masyarakat tempatan.

Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan, NestlÈ Malaysia, Zainun Nur Abdul Rauf, menjelaskan mereka sangat gembira dengan pencapaian dan kemajuan ahli Pewanis selama ini yang amat memberangsangkan dari segi alam sekitar dan juga keusahawanan. NestlÈ berbangga kerana terbabit dalam menjayakan usaha murni ini.

“Pakatan kami dengan WWF-Malaysia sejajar de­ngan pendekatan kami iaitu Menjana Nilai Bersama. Kami benar-benar percaya bahawa kami boleh mencapai kejayaan sebagai sebuah syarikat dengan menabur bakti kepada masyarakat dan kami terus berusaha mencari peluang untuk memberikan sumbangan yang positif dalam masyarakat,” katanya.

Menurut Pengurus Kanan dan Ketua Program Air Tawar WWF-Malaysia Daria Mathew, WWF-Malaysia yakin sokongan dan penyertaan masyarakat tempatan penting untuk menyumbang kepada kejayaan usaha pemuliharaan.

Selama ini, pakatan dengan NestlÈ Malaysia membolehkannya berhubung dengan masyarakat terutama dengan wanita tempatan yang menerajui Pewanis. Ia amat meng­galakkan untuk melihat perkembangan positif yang dicapai, seperti yang ditunjukkan oleh pembabitan masyarakat ke arah pemuliharaan Setiu Wetlands, termasuk juga manfaat yang diperoleh daripada inisiatif pemuliharaan berasaskan masyarakat,” katanya.

Dalam sesi perjumpaan ini, satu sesi dialog diadakan antara NestlÈ Malaysia, WWF-Malaysia dan Pewanis. Tetamu juga dihiburkan dengan persembahan koir khas oleh murid SK Mangkok. Selain persembahan, satu galeri foto didirikan bagi memaparkan pelbagai aktiviti pemuliharaan dan ekopelancongan yang diadakan dari 2007 hingga 2015, mengikut tema Setiu Wetlands: masa lalu, masa kini & masa depan.

Ahli Pewanis dan anggota masyarakat tempatan juga menunjukkan kemahiran masing-masing dalam seni kraftangan. Di samping itu, ahli Pewanis memanfaatkan peluang ini untuk menunjukkan teknik menanam semula pokok bakau daripada anak benih sebagai salah satu aktiviti utama untuk meningkatkan kesedaran mengenai usaha pemuliharaan.

“Kerjasama antara NestlÈ Malaysia dan WWF-Malaysia membawa manfaat besar kepada masyarakat tempatan kami di Setiu. Selain menjadi sumber pendapatan bagi masyarakat tempatan, usaha kami juga membantu melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang. Aktiviti ekopelancongan juga berfaedah bagi orang ramai sebagai saluran untuk mendidik mereka mengenai pemuliharaan alam sekitar dan kehidupan lestari,” ujar Pengerusi Pewanis, Rusnita Ngah.

Selain menggalakkan penjanaan pendapatan dan memperkasakan wanita menerusi kumpulan Pewanis, Projek Pembangunan Lestari Setiu juga berusaha mendidik kanak-kanak, belia dan masyarakat secara keseluruhannya. Ini termasuk menggalakkan pelaksanaan ekosekolah, mengadakan program alam sekitar dan pameran bergerak untuk meningkatkan kesedaran, penyenggaraan tapak semaian pokok bakau dan bekalan anak benih, latihan dan penyediaan bahan maklumat. Ia bertujuan merapatkan jurang serta meneroka peluang untuk memperkasakan masyarakat bagi memainkan peranan yang lebih aktif dalam proses pembangunan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 5:00 AM