KANAK-KANAK yang menyertai Raudhatul Huffaz.
PROGRAM membabitkan kanak-kanak dalam jumlah yang kecil.
TENAGA pengajar melalui sesi latihan bagi melangkapkan diri dengan ilmu.
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

“Semuanya bermula dengan satu cabaran. Selepas mengikuti kelas anjuran Islamic Parenting Network di bawah Lina Karim untuk berkongsi kaedah dia mendidik dua anaknya menjadi seorang huffaz, Lina mencabar saya agar melakukan lebih baik untuk melahirkan lebih ramai huffaz disebabkan saya mempunyai latar belakang sekolah agama sehingga ke peringkat universiti.

“Saya rasa tercabar dan menyahut cabaran untuk memulakan langkah mendidik lebih ramai huffaz dalam kalangan kanak-kanak. Hasilnya saya mengajar 15 anak jiran di rumah, namun ia tidak mencukupi.

“Pertemuan dengan sahabat, Siti Nadzrah Sheh Omar yang berjaya mengasuh lima anak huffaz dan profesional membuka jalan untuk mendapatkan model pengajian terbaik untuk menubuhkan Raudhatul Huffaz,” kata Pengasas Raudhatul Huffaz (RH), Asral Widad Ahmad Asnawi yang juga Pengerusi Pusat Kecermerlangan Pendidikan Ummah (PACU).

Bermula dengan program perintis iaitu bimbingan kepada 40 kanak-kanak dari kelab Nazim DHL, selepas setahun disebabkan permintaan yang semakin bertambah, Widad bersama Husna Muhamad Zamani juga seorang huffaz mula mencari model pengajaran bagi memantapkan pe­ngajian. Sehingga hari ini, hampir 30 cawangan RH di seluruh negara ditubuhkan termasuk Sabah dan Sarawak.

Widad bersama dua rakannya bersemangat menubuhkan RH disebabkan hasil kajian di lokasi pusat tahfiz serta pusat mengaji al-Quran yang lain menunjukkan kebanyakan kelas mengaji hanya menitikberatkan bacaan al-Quran, sebaliknya bagi hafazan sedangkan minda kanak-kanak pada usia muda seperti span dan mampu menerima sebanyak mungkin ilmu dalam bidang al-Quran.

“Kami berasakan menjadi tanggungjawab mendidik anak dengan sebanyak ilmu hafazan al-Quran dan hadis kerana apa yang diajar akan kekal selama-lamanya. Lagipun pada usia seawal empat tahun mereka mudah menerima dan senang menghafal apa saja surah diberikan.

“Ia juga sebagai persediaan sekiranya memasuki sekolah tahfiz apabila meningkat usia 13 tahun. Lebih penting kami merasakan untuk membina kembali tamadun manusia dengan ilmu dan pendidikan. Justeru, hanya dengan memperkasakan mereka dengan ilmu didikan hafazan al-Quran saja mampu mencapai ke arah itu ,” katanya.

Pendapat ini turut dipersetujui Pengurus RH, Husna Muhamad Zamani yang menjelaskan konsep yang cuba diperkenalkan RH sangat berbeza. Melihat senario hari ini apabila anak semakin jauh daripada al-Quran, dia bersama dua rakan lain cuba mencari penyelesaian supaya lebih ramai mendapat manfaat daripadanya.

“Kami sedar ada kekangan ibu bapa yang mempunyai keinginan tinggi menghantar anak mendalami al-Quran seterusnya menjadi seorang huffaz. Namun, masalah kewangan juga jarak rumah yang jauh menyebabkan mereka me­ngabaikannya. Menerusi RH kami mengumpul sejumlah kanak-kanak melebihi lima orang kemudian menggunakan rumah, surau atau dewan di kawasan sekitar untuk dijadikan pusat pengajaran al-Quran. Dengan itu anak ini dapat belajar dengan selesa dan lebih sistematik,” katanya.

Istimewanya RH apabila silibus pembelajaran bukan hanya menekankan bacaan yang betul dan hafazan, tetapi turut memberi tumpuan kepada akhlak. Modul yang dinamik dan interaktif diperkenalkan misalnya tokoh Islam yang menghafaz al-Quran sejak kecil seperti Al-Fateh, Salahuddin al-Ayubi dan Hassan al-Bana diperkenalkan supaya anak-anak ini dapat menjadikan mereka sebagai idola.

Tenaga pengajar di RH juga mempunyai pengalaman luas dan melalui proses interviu dan beberapa siri latihan bagi menjaga kualiti pengajaran. Mereka juga kreatif mencipta modul seperti pengenalan kepada atlas supaya anak ini berfikiran lebih global manakala modul Peduli Ummah disertakan agar mereka celik isu semasa terutama yang melanda umat Islam pada masa sekarang.

Selain itu, tumpuan RH juga untuk anak di kawasan Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) yang sangat memerlukan pendidikan berasaskan al-Quran. Jika sebelum ini bantuan diberikan hanya menerusi sumbangan makanan dan keperluan harian tetapi RH merasakan dengan memberikan ilmu al-Quran ia dapat mengubah nasib mereka menjadi lebih baik.

“Untuk anak PPRT kami memberikan pendidikan percuma. Antara lokasi yang sedang dijalankan ialah PPRT Bangi iaitu dengan mengadakan kelas pengajaran untuk 30 kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 16 tahun. RH menyediakan empat guru berpe­ngalaman bagi menyantuni mereka supaya celik al-Quran. Ini kerana rata-rata mereka tidak mempunyai latar belakang agama yang kuat. Namun selepas didedahkan dengan bacaan, hafazan, hadis dan akhlak, perubahan mereka memang nampak jelas.

“Daripada pemerhatian saya, kanak-kanak ini sangat bijak dan mudah menghafaz al-Quran. Cuma mereka tidak disediakan pengajaran dengan betul serta kawal selia oleh ibu bapa,” katanya yang berhasrat menyertai lebih banyak kediaman PPRT terutama di Kajang dan Kuala Lumpur supaya lebih ramai generasi celik al-Quran dapat dilahirkan.

Jelas Husna, setiap pelajar mempunyai buku rekod pelajar yang dikemas kini setiap hari mengikut pencapaian mereka. Setiap kali pulang ke rumah, ibu bapa akan melihat buku rekod ini bagi mengetahui setakat mana kemampuan anak mereka.

Selagi anak tidak mampu membaca dan menghafaz dengan baik mereka akan berusaha untuk me­nguasainya. Ini bermakna RH tidak mementingkan kuantiti, tetapi kualiti dan sejauh mana mereka dapat me­nguasai pembelajaran ­dengan baik.

“Kesimpulannya, apa yang kami sedaya upaya tekankan kepada anak ini supaya mereka sedar kehidupan yang dilalui kini bukan hanya di dunia saja sebaliknya ada tempat yang harus dituju. Dalam menuju destinasi ini mereka perlu bersedia supaya pada akhirnya matlamat untuk kebahagiaan akhirat serta menuju jannah tercapai. Sekiranya setiap pelajar memahami apa yang kami ingin sampaikan ia sudah cukup memberikan kepuasan kepada tenaga pengajar di RH,” kata Husna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 5:00 AM