EZAD (kiri) bersama Nor Azeana. FOTOfile NSTP Munira Abdul Ghani
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Ampang: Isteri penyanyi Ezad Lazim, Nor Azeana Ramli, 36, selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Ampang pada 2.15 petang tadi.

Ini adalah anak kedua pasangan yang bernikah pada 30 Mac 2013 itu selepas dikurniakan anak perempuan, Puteri Rania Keisha yang kini berusia dua tahun.

Nor Azeana atau lebih dikenali dengan Zeana, nekad mahu melahirkan anak kedua mereka walaupun disahkan menghidap ketumbuhan Stroma Gastrousus (GIST).

Ezad, 36, berkata, isterinya dimasukkan ke wad sejak 10 pagi dan menjalani pembedahan pada tengahari.

“Alhamdulillah anak lelaki saya selamat dilahirkan tanpa sebarang masalah. Cuma saya sedang menunggu perkembangan isteri kerana dia mengalami pendarahan yang banyak,” katanya ketika dihubungi.

Zeana mula mengalami sakit perut sebaik pulang mengerjakan umrah pada Februari lalu. Dia seterusnya menjalani pemeriksaan di Hospital Ampang dan disahkan ada ketumbuhan.

Seminggu kemudian, Zeana menjalani pembedahan membuang ketumbuhan sebesar kepala bayi, namun selepas itu sakitnya kembali berulang. Dia dirujuk semula kepada doktor dan disahkan menghidap GIST.

Ezad pernah memberitahu, isterinya nekad mahu melahirkan anak kedua mereka dan berharap akan berlaku keajaiban penyakit tersebut akan hilang selepas bersalin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:58 PM