Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner, Idris Abdul Rafar (kanan) menunjukkan pil kuda yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Simpang Tok Ku, Kuala Terengganu. - Foto ROZAINAH ZAKARIA
Oleh Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Polis Terengganu yakin berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran pil kuda di sini dan Setiu selepas merampas kira-kira 12,000 biji disyaki pil kuda bernilai hampir RM200,000 di Kampung Simpang Tok Ku, di sini, 28 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, rampasan itu adalah yang terbesar di Terengganu bagi tahun ini.

Pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu hari ini, beliau berkata susulan serbuan dilakukan terhadap sebuah rumah oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu pada jam 12.45 tengah hari dan menahan seorang lelaki berusia 21 tahun.

"Hasil pemeriksaan dalam sebuah bilik di rumah itu polis menemui dua bungkusan mengandungi 30 paket plastik berwarna biru yang setiap satu berisi 200 biji pil disyaki pil kuda.

"Suspek boleh disifatkan 'stokis' bagi kumpulan pengedaran lebih besar berpangkalan di Rantau Panjang, Kelantan, dikenali sebagai Kumpulan Mat Duan. Suspek direman mulai 29 September lalu hingga hari ini dan polis memperoleh sambungan reman dari 6 hingga 12 Oktober ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 4:26 PM