PEGAWAI SFC memeriksa penyu yang dirampas.
Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

Sibu: Seorang lelaki tidak sempat mengaut keuntungan hasil jualan penyu di Pasar Sibu di sini, apabila ditahan penguat kuasa Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), semalam.

Hasil maklumat awam, penguat kuasa SFC mengadakan pemeriksaan dan mendapati lelaki berusia 50-an terbabit menjual penyu yang dikategorikan sebagai haiwan dilindungi.

Dalam kenyataan SFC di sini, lelaki terbabit cuba menjual tiga penyu berkulit lembut dan lapan penyu daripada spesies ‘Malayan Box’.

“Penyu itu diperoleh di sekitar wilayah tengah Sarawak dan dijual di pasar berkenaan berikutan permintaan menggalakkan daripada penggemar hidangan eksotik.

“Namun penyu adalah haiwan yang dilindungi mengikut Ordinan Perlindungan Haiwan Liar, 1998. Berdasarkan ordinan ini, haiwan yang dilindungi tidak boleh disimpan, dijual atau dibeli. Sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 dan dipenjara setahun,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 6:40 AM