SUNGGUH cantik tarian tradisi yang dipersembahkan kumpulan ini.

SMK All Saints Kota Kinabalu, Sabah, menggungguli secara keseluruhan pertandingan Tugu Budaya sempena Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa (SIFF) Sabah kali ke-10, baru-baru ini.

Sekolah berkenaan turut menerima anugerah ‘Diamond Of Tugu Budaya’ apabila pesertanya berjaya memikat hati juri dalam pertandingan di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang.

SMK Ranau pula dinobat sebagai naib juara dan SMK Medamit Limbang Sarawak (ketiga) bagi kategori sekolah menengah, manakala SK St James Kota Kinabalu muncul johan kategori sekolah rendah, SK Convent 2 Bukit Nanas Kuala Lumpur (kedua) dan SK St Agnes Likas (ketiga).

Hadiah disampaikan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Kamarlin Ombi.

Pertandingan anjuran Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS) itu mempertandingkan empat kategori iaitu tradisi, tradisi kreatif, solo dan duet kreatif.

Pengurus Besar LKS Datu Rusmadi Datu Sulai berkata, pertandingan kali ketujuh sempena SIFF itu bertujuan menggalakkan generasi muda mencintai tarian tradisi etnik di Sabah.

“Pertandingan juga menyasarkan objektif menjadikan budaya tradisi khususnya di Sabah sebagai medium perpaduan nasional.

“Pada peringkat awal, ia terbuka untuk sekolah di Sabah, namun penyertaan dibuka kepada pelajar di Sarawak dan Semenanjung dalam misi mengarusperdanakan budaya Sabah,”katanya.

Sebanyak 18 sekolah menyertai pertandingan itu.

Pelajar SK (P) Methodist Kuantan, Pahang, Ainin Asrul Afendi, 11, yang menyertai pertandingan itu selama empat tahun berturut-turut mengakui tarian tradisi Sabah sangat mengagumkan.

“Pertandingan ini sangat menarik minat saya untuk mempelajari tradisi etnik Sabah. Program ini juga membuka peluang kepada kami untuk memperkenalkan tarian tradisi di Semenanjung, selain mengeratkan ukhuwah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:11 AM