SAIZ, jenis dan ukuran kasut perlu sesuai dengan kaki.

Ketumbuhan, kulit kematu, tumit merekah, ibu jari melengkung, kaki berbau dan jangkitan kulat antara penyakit kaki biasa yang sering dialami golongan dewasa.

Lebih membimbangkan apabila ramai yang berusia 20-an ke atas mula mengalami pelbagai masalah berkaitan kaki terutama cepat lenguh apabila banyak berjalan.

Disebabkan itu, kaki perlu sentiasa diberi perhatian kerana anggota penting itu mempunyai peranan besar dalam kehidupan seharian iaitu sebagai pelengkap diri, melancarkan pergerakan badan serta menampung berat tubuh.

Antara kaedah menjaga kesihatan kaki adalah melalui pemakaian kasut ber­saiz tepat selain memastikan kasut selesa dan bersesuaian dengan aktiviti dilakukan.

Kajian mendapati 75 hingga 80 peratus golongan dewasa di negara ini mengalami masalah berkaitan kaki, tetapi kebanyakannya enggan mendapatkan khidmat nasihat pakar untuk mengatasi masalah terbabit sehingga ia berlarutan.

Ramai memberi alasan kekangan masa selain beranggapan masalah kaki yang dialami itu bukan penyakit serius yang boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kaki yang tidak disangka.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MyOtho Datuk Dr Edmund Lee berkata, masalah berkaitan kaki tidak boleh sesekali diambil mudah bagi mengelak berlaku­nya pelbagai penyakit berbahaya kelak.

“Pemeriksaan berjadual perlu dilakukan dengan bertemu pakar atau pegawai perubatan berkaitan terutama sekiranya kaki mula menunjukkan isyarat berlakunya masalah.

“Kaki anggota terpenting yang menampung seluruh berat badan manusia terutama ketika berjalan. Melalui pemerhatian saya, ramai pesakit mengalami masalah berkaitan kaki mendapatkan rawatan apabila keadaan kesihatan semakin serius.

“Pelbagai komplikasi boleh terjadi sekiranya individu mula menghadapi kesakitan pada kaki antaranya masalah tulang belakang. Justeru, pemeriksaan serta rawatan berjadual sangat penting bagi mencegah sebarang masalah,” katanya.

Tambahnya, lebih teruk apabila individu terbabit bertemu doktor dalam keadaan terlalu serius yang memerlukan pembedahan atau suntikan sebagai kaedah rawatan.

Antara kaedah yang boleh dilakukan untuk menjaga kesihatan kaki:

- Pilih kasut yang sesuai dengan ukuran kaki.

- Lakukan pemeriksaan dan rawatan kaki berjadual.

- Jangan kerap berjalan tanpa memakai kasut.

- Jangan sesekali mengabaikan rasa sakit pada kaki atau pergelangan kaki.

- Angkat kaki dalam tempoh seketika terutama selepas berjalan atau berlari yang lama.

- Periksa keadaan kaki dengan teliti.

- Jaga kebersihan kaki dan kuku kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:08 AM