Zaleha Awi, 41, meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto SYAHIRAH ABDULLAH
Keadaan Perodua Viva yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 29 Jalan Kuala Terengganu/Kelantan dekat Kampung Sungai Ikan. - Foto SYAHIRAH ABDULLAH
Oleh Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Seorang guru Tadika Kemas maut selepas kereta dinaiki bersama suami dan anak, terbabas melanggar pengadang besi di Kilometer 29 Jalan Kuala Terengganu/Kelantan di Kampung Sungai Ikan, Kuala Terengganu, pagi tadi.

Zaleha Awi, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala anaknya, Wan Muhammad Irwan Wan Mohd Radhi, 6, yang cedera di kepala masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Bagaimanapun, suaminya, Wan Mohd Radhi Wan Derahman, 41, hanya luka ringan di lutut dan tangan kiri.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika tiga beranak itu dalam perjalanan dari rumah di Merbau Patah, di sini, menghala Pejabat KEMAS Setiu untuk menghantar mangsa yang menghadiri seminar prestasi KEMAS Terengganu.

Bagaimanapun, setiba di tempat kejadian, kereta dipandu suami mangsa cuba mengelak sebuah Proton Saga yang memotong di sebelah kanan menyebabkan kenderaan mereka terbabas melanggar pengadang besi.

Rempuhan itu menyebabkan pengadang besi terperosok ke dalam Perodua Viva dengan kereta itu berpusing ke arah Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar yang dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 4:43 PM