Manila: Pulau Cebu mengalami jerebu untuk hari ketujuh berturut-turut semalam, dipercayai kesan daripada kebakaran hutan dan ladang di Indonesia.

Angin monsun yang bertiup ke arah timur laut dari Indonesia menuju ke tengah Filipina mungkin membawa asap dari Sumatera kata petugas kajicuaca Romeo Aguirre.

“Kami mengesyaki jerebu ini dari Sumatera. Ia tebal luar biasa,” kata Aguirre.

Menurutnya, jerebu yang berpunca daripada pencemaran tempatan biasa berlaku di Cebu, wilayah yang mempunyai empat juta penduduk. Bagaimanapun, ia akan hilang dalam masa sehari.

“Tetapi, jerebu yang melanda bandar Cebu kali ini sudah masuk hari ketujuh. Walaupun hari ini (semalam) berkurangan,” katanya.

Menurut Aguirre, Isnin adalah yang paling teruk dengan jarak penglihatan berkurangan kepada separuh.

Jabatan alam sekitar Filipina berhasrat mengadakan ujian lanjut untuk mengesahkan asal jerebu itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:10 AM