MITSUBISHI ASX dipertingkatkan.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak, Mitsubishi ASX kembali dengan model dipertingkatkan selepas lima tahun diperkenalkan oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMM).

Model dipertingkatkan itu turut hadir dengan pengenalan varian terbaru menerusi Mitsubishi ASX 2WD GL yang dijual pada harga bermula RM104,791 untuk melengkapkan keluarga SUV kompak sedia ada iaitu ASX 2WD dan 4WD.

Mitsubishi ASX 2WD kini ditawarkan pada harga RM112,571 dan ASX 4WD berharga RM125,040 seunit termasuk GST tanpa insurans.

Bagi SUV kompak yang dipertingkatkan itu, ia hadir dengan wajah lebih segar dengan padanan Lampu Nyalaan Siang (DRL) serta antena jenis sirip jerung.

Kini varian tertinggi ASX 4WD tampil ciri keselamatan lebih baik selepas dilengkapi tujuh beg udara dan tampak tegap dengan rim aloi dua tona bersaiz 17 inci.

Jika menjengah ke ruang kabinnya, kedua-dua varian itu dilengkapi sistem audio skrin sentuh mempunyai navigasi yang boleh disambung menggunakan USB dan Bluetooth.

Ia juga didatangkan dengan rekaan konsol tengah baru serta kemasan hitam berkilat pada butang panel pintu.

Malah, ia diserlahkan lagi menerusi pengenalan warna baru membabitkan biru yang sebelum ini mempunyai kelabu, perak dan putih.

Bagaimanapun rangkaian kuasanya masih menggunakan enjin MIVEC bersesaran 2.0 liter dengan padanan kotak gear INVECS-III CVT bersama mod sport yang menjana kuasa maksimum 150 PS dan tork sehingga 197 Nm.

Semua varian dilengkapi Sistem Antikunci Brek dan Agihan Brek Elektronik, tetapi ASX 4WD mempunyai ciri sistem kawalan semua roda serta Kawalan Kestabilan Aktif.

Sempena ulang tahun ke-10 MMM di Malaysia, pelanggan akan ditawarkan dengan rebat tunai tambahan sehingga RM12,000 untuk model terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:02 AM