GELAGAT peserta yang berjaya menamatkan kayuhan.
PESERTA bersaing ketika pada awal perlumbaan.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid
metahad@hmetro.com.my


Cabaran sejauh 66 kilo­meter di bawah terik mentari sedikit pun tidak menghalang pelumba MTB Race Open Felda Sahabat 2015 untuk berkayuh hingga ke garisan penamat. Perlumbaan bermula di Padang Awam Felda Wilayah Sahabat, Lahat Datu, Sabah seawal jam 7 pagi itu menyaksikan persaingan sengit antara 155 pelumba yang terpaksa mencabar keupayaan diri sendiri berikutan keadaan cuaca panas.

Dilepaskan oleh Penyelia Pendidikan Daerah Lahad Datu Mukhsin Hajirin, peserta mula berkayuh melalui beberapa kawasan antaranya Kampung Cenderawasih, Ladang Kembara Sakti sebelum berpatah balik ke padang awam.

Biarpun tidak melalui kawasan berlumpur, berselut dan tidak rata sebaliknya berlumba di atas jalan bertar sepenuhnya, cabarannya tetap ada. Bahang kepanasan membakar tenaga mereka dengan cepat seterusnya membuat kebanyakan peserta berasa haus.

Tanpa stamina serta semangat tinggi, peserta ha­nya ada dua pilihan iaitu menolak basikal atau menunggu bantuan marsyal untuk menamatkan kayuhan.

Bagaimanapun, rata-rata pelumba mengakui cabaran sepanjang perlumbaan sungguh menyeronokkan apatah lagi mereka disajikan dengan pemandangan yang indah membuatkan rasa penat tidak terasa.

Ketua Penyelaras program, Yandy Merika berkata, program anjuran bersama Felda Wilayah Sahabat dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sahabat 16 Lahad Datu itu mempertandingan lima kategori iaitu Junior 13 tahun ke atas, Senior 30 tahun ke atas, Veteran 40 tahun ke atas, Wanita 13 tahun ke atas dan Guru 20 tahun ke atas.

“Penganjuran kali pertama ini menggunakan laluan berturap di mana ia sebagai percubaan kami untuk penganjuran akan datang. Awalnya, sasaran kami hanya 100 peserta tetapi ternyata sambutan menggalakkan apabila 155 peserta mendaftar.

“Ini jelas menunjukkan pelumba MTB bukan saja suka laluan lasak, sebaliknya teruja pada laluan bertar yang mempunyai cabaran tersendiri,” katanya.

Menurut Yandy, objektif perlumbaan berkenaan adalah memperkenalkan Felda Sahabat sebagai lokasi perlumbaan berbasikal baik bagi acara basikal lasak kategori MTB mahupun jalan raya.

“Kita berbangga kerana penganjuran perlumbaan ini turut mendapat sokongan peserta dari daerah berdekatan antaranya Tawau, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Tambunan, Kota Belud, Sandakan dan Ranau.

“Ia secara tidak langsung me­ngeratkan lagi hubungan silaturahim antara peserta dan masyarakat tempatan,” kata­nya.

Yandy berkata, lima anugerah turut diberikan kepada pengayuh bertuah iaitu Anugerah Rider Paling Bergaya, Paling Otai, Fat Boy, Paling Ramai dan Juara Keseluruhan.

Terdahulu, juara keseluruhan pertandingan dimenangi Star Cycling Club Lahad Datu (SCCLD), Ai Jo Bikers (Kota Belud) dan 88 Bikers (Kota Kinabalu). Pertandingan kali pertama diadakan itu tersenarai dalam kalendar Felda Wilayah Sahabat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:01 AM