MELISSA bersama hidangan unik rakyat Malaysia.

Bagi peragawati Melissa Th’ng, menikmati juadah di Restoran Ten Years mengimbau kenangan zaman kanak-kanak kerana dekorasi premis itu yang diinspirasikan daripada era lama.

“Di kiri dan kanan sudut premis dipenuhi dengan kelengkapan menjual makanan yang mengimbau kenangan ketika berada di kampung halaman dan zaman kanak-kanak seperti tin biskut lama.

“Apa yang menariknya di sini ialah pelbagai makanan yang terkenal sebagai makanan jalanan ditampilkan meliputi ‘signature dish’ di pelbagai negeri,” kata Melissa yang ada kala tampil selaku pengacara.

Beliau yang pernah menyertai Asia’s Next Top Model musim pertama berkata, konsep ditampilkan restoran itu turut membolehkan pelanggan menikmati semua jenis makanan pada masa dan lokasi yang sama ditambah dengan fasiliti serta kemudahan yang selesa.

“Menu dihidang menonjolkan keunikan makanan penjaja, gerai atau jalanan yang menjadi identiti kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Siapa boleh lupakan car kuetiau, rojak pasembor, mi kari atau laksa? Biasanya makanan ini cuma didapati di pasar malam atau kawasan medan selera,” katanya yang menggemari car kuetiau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:00 AM