PESAWAT Twin Otter DHC-6 milik Aviastar Mandiri yang dilaporkan hilang.

Jakarta: Sebuah pesawat Indonesia yang membawa 10 penumpang terputus hubungan dari menara kawalan ketika penerbangan di Sulawesi semalam, kata pegawai.

Pesawat Twin Otter DHC-6 milik syarikat penerbangan Aviastar Mandiri itu terputus hubungan pada jam 2.29 petang (waktu tempatan) tidak lama selepas berlepas dari Lapangan Terbang Masamba di Luwu Utara menuju ke Makassar.

Ketua agensi bantuan dan menyelamat Indonesia, Bambang Sulistyo berkata, usaha mencari dan menyelamat mungkin dilakukan pada pagi ini.

“Kami masih menunggu maklumat lanjut mengenai kejadian ini.

“Saya dan pasukan mencari dan menyelamat akan segera ke Masamba.

“Keadaan di kawasan itu sudah gelap, tetapi keputusan boleh berubah bergantung pada perkembangan terbaru,” katanya.

Pesawat dua enjin itu membawa tiga kru, empat penumpang dewasa, dua kanak-kanak dan seorang bayi.

Ia dijangka tiba di Makassar sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Masamba.

Pengurus besar Lapangan Terbang Makassar, Abdul Munir berkata, pesawat itu terputus hubungan lapan minit selepas berlepas.

Pesawat itu dilaporkan berlepas ketika cuaca baik.

Indonesia mempunyai rekod penerbangan yang buruk dan tragedi terbaru pada Ogos lalu menyebabkan 54 penumpang maut apabila pesawat dinaiki mereka terhempas di kawasan hutan di Oksibil Papua. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:20 AM