ANTARA kasut Emmett mendapat perhatian.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Kasut tumit tinggi bercorak batik monokrom jenama Emmett, rekaan pereka kasut tempatan Zul Mohd Abdul Karim, menjadi pilihan selebriti terkenal yang juga bekas supermodel pertama Amerika Syarikat (AS), Janice Dickinson.

Wanita itu menggayakan kasut berkenaan yang dipadankan dengan skirt paras lutut dengan corak monokrom dan baju dari material kulit berwarna hitam tanpa lengan dalam satu acara hiburan di negara itu, baru-baru ini.

Meluahkan rasa terharunya, pereka sedang meningkat naik yang memberi fokus menembusi pasaran antarabangsa sejak tiga tahun lalu itu tidak menyangka kasutnya akan menjadi pilihan selebriti berkenaan untuk digayakan dalam majlis yang berprestij.

“Selain Janice, kasut saya juga sudah disarung beberapa selebriti Hollywood selain sering dipilih untuk dipakai model ketika acara peragaan fesyen serta sering dipaparkan dalam majalah di sana.

“Rekaan kasut tumit tinggi berkenaan yang runcing dan ringkas memang sesuai untuk dipakai di karpet merah dan menjadi pilihan selebriti di sana,” katanya.

Menurut Zul Mohd yang mempunyai pegawai pemasaran di AS, dia kini dalam proses memperluas rekaan dan perniagaan kasut buatan tangan yang direka khas bermula tahun hadapan dalam usaha muncul sebagai jenama pilihan di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:01 AM