Gambar yang dirakam pada 30 September menunjukkan keadaan jerebu teruk di Palembang. - Foto AFP

Jakarta: Jerebu akibat kebakaran ladang dan hutan di Indonesia dijangka berakhir dalam tempoh sebulan lagi apabila negara itu mula mengalami musim hujan.

Ketua Agensi Pengurusan Bencara Negara (BPNP) Willem Rampangile dipetik media Indonesia berkata, dengan peralihan cuaca itu, ia sekali gus memadamkan api dalam tanah gambut dan menghilangkan jerebu yang turut melanda Malaysia dan Singapura sejak dua bulan lalu.

Katanya jerebu di Sumatera juga mula berkurangan sekarang selepas beberapa kawasan wilayah itu termasuk di Riau mula menerima hujan sejak dua hari lalu.

Musim hujan yang dijangka bermula hujung Oktober atau awal November ini dapat membantu kerja pemadaman api di kawasan berkenan.

"Cabaran terbesar menangani kebakaran hutan dan tanah pertanian kali ini ialah kebakaran tanah gambut dan cuaca kering. Jika air terhad, ia menimbulkan asap di tanah gambut yang terbakar. Saya harap dalam sebulan lagi ia akan selesai, (pada) akhir Oktober atau awal November," katanya.

Menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika pula bacaan IPU di Palangkaraya di Kalimantan Tengah masih pada tahap berbahaya manakala di Jambi dan Palembang, kekal di tahap sangat tidak sihat.

Bacaan IPU di Palangkaraya adalah lebih 1,300 sejak 3 petang tadi dan masih belum menurun setakat 6 petang ini, melumpuhkan aktiviti harian masyarakat dan semua sekolah ditutup sejak Isnin lalu.

Jambi pula mencatat IPU sehingga 1,000 pada awal pagi tadi sebelum menurun kepada 552 pada 6 petang manakala di Palembang pula, bacaan IPU

pada pagi tadi ialah 673 sebelum menurun kepada 315 pada 6 petang. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 11:21 PM