DR Mohd Fadhil (dua dari kanan) bersama pasukannya menunjukkan alat pengukuran indeks pencemaran udara (IPU) di UTM Skudai, Skudai.
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Ramai mempersoalkan keputusan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang didakwa tidak setara dengan pandangan mata kasar.

Bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu itu, penulis menemu bual Pengarah Kampus Pelestarian Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Madya Dr Mohd Fadhil Md Din yang menjalankan kajian berkaitan jerebu yang sedang melanda negara.

Beliau berkata, jerebu didefinisikan sebagai satu fenomena tradisi atmosfera membabitkan debu, habuk, asap dan zarah lain yang mencemar kejelasan langit atau yang berkaitan dengan persekitaran.

“Sebenarnya setiap hari jerebu disumbangkan menerusi aktiviti manusia termasuk pembakaran bahan bakar dan aktiviti perkilangan.

“Cuma kebanyakan aktiviti ini dilakukan secara terkawal menyebabkan bacaan IPU tidak melonjak tinggi, selain jenis bahan pencemar itu sendiri.

“Kod panduan Organisasi Meteorologi Dunia (WMO) mengelaskan pengaburan mendatar ke dalam kategori kabus, kabus ais, kabus wap, kabus, jerebu, asap, abu gunung berapi, habuk, pasir dan salji.

“Fenomena ini biasanya terjadi apabila zarah, debu dan asap berkumpul pada hari yang kering. Zarah kecil ini berkumpul di paras rendah atmosfera dan akan mengaburi pandangan serta menyebabkan masalah pernafasan.

“Jerebu tebal turut dikenali sebagai asbut,” katanya.

Katanya, sumber partikel jerebu termasuk aktiviti pertanian (membajak dalam cuaca kering), lalu lintas, industri dan kebakaran hutan, kebakaran tanah gambut, pembakaran terbuka serta asap perindustrian dan kenderaan. Semua elemen ini menyumbang kepada kadar penglihatan menjadi kabur jika berlaku pembakaran secara besar-besaran.

Beliau turut bersetuju bahawa masalah jerebu pada tahun ini berlaku agak lewat disebabkan faktor El Nino yang menyumbang kepada situasi cuaca kering.

Dr Mohd Fadhil berkata, jerebu di Semenanjung Malaysia biasanya berlaku dari Januari hingga Februari dan Jun hingga Ogos.

“Sebaliknya, ketika Monsun Timur Laut angin lengas (haba) Timur Laut yang umumnya bertiup kuat dari Laut China Selatan sering menurunkan kelengasannya di daratan sebagai hujan menyeluruh. Justeru, jerebu jarang kelihatan pada bulan-bulan ini.

“Di kawasan tropika, pergerakan angin biasanya perlahan. Bagi tempoh tertentu terutama ketika Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera sangat stabil dan pergerakan udara melintang dan menegak berkurangan. Dalam keadaan ini, pembentukan awan tidak aktif menyebabkan cuaca kering.

“Beberapa faktor seperti tempoh cuaca kering yang panjang, atmosfera stabil dan sumber pencemaran yang banyak di bandar atau luar bandar antara punca utama pembentukan jerebu.

“Zarah yang dibebaskan terperangkap di dalam atmosfera jisim udara bergenang dan meningkatkan kepekatannya,” katanya.

Katanya, ada beberapa penyebab utama yang mencetuskan jerebu pada masa ini. Ini termasuk aktiviti pembersihan kawasan hutan dan pembakaran terbuka sebelum menjelang monsun Timur Laut yang membawa hujan panjang selepas September hingga Januari.

Aktiviti pembakaran hutan yang rakus dan tidak terkawal itu dibawa angin melepasi garisan sempadan negara.

Persoalan mengenai perbezaan bacaan IPU antara Malaysia dengan Indeks Pencemar Standard (PSI) di Singapura turut diperjelaskan.

Dr Mohd Fadhil berkata, Malaysia menggunakan pengiraan indeks dengan mengambil kiraan IPU berdasarkan habuk halus bersaiz kurang daripada 10 mikrometer (PM10)

“Hanya 12 daripada 52 stesen pemantauan udara di Malaysia menggunakan cerapan 2.5 mikrometer (PM2.5) tetapi disebabkan tiada penyeragaman, maka berlaku indeks yang berbeza-beza.

“Sesetengah negara menggunakan Indeks Kualiti Udara (IKU) dan ada juga menggunakan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

“Kedua-dua indeks ini masih boleh diterima bergantung kepada keperluan negara dan bentuk amalan kesiapsiagaan dalam menangani kes kesihatan.

“Kedua-dua indeks ini hanya sebagai petunjuk kualiti atau pencemaran udara bagi memastikan kesihatan kepada masyarakat.

“Kajian lebih terperinci dan saintifik tidak digalakkan bagi mengelak pertikaian dalam kalangan masyarakat kerana instrumentasi dan kaedah pengukuran yang lebih kompleks lebih diutamakan ketika cerapan dan analisis.

“Indeks pengukuran juga berbeza terutama ada yang menggunakan hanya PM2.5 sebagai indeks semasa jerebu sedangkan asas parameter terdiri daripada PM10, PM2.5, gas nitrogen dioksida, karbon monoksida, sulfur dioksida dan ozon.

“Ketika situasi jerebu yang teruk, bacaan PM2.5 akan menjadi sangat berbeza kerana zarah yang terampai di udara sangat halus dan mempunyai tahap bahaya yang lebih berbanding PM10.

“Sementara kedua-dua partikel PM10 dan PM2.5 boleh menyebabkan masalah pernafasan, PM2.5 lebih bahaya kerana turut membawa toksik dan bahan berbahaya.

“Pakar kesihatan menyatakan partikel PM10 boleh masuk ke dalam sistem pernafasan dan dikeluarkan melalui kahak dan bulu hidung, PM2.5 pula mampu meresap jauh ke dalam paru-paru dan aliran darah.

“Pendedahan yang lama kepada partikel ini boleh menyebabkan barah paru-paru, serangan jantung dan strok,” katanya.

Menurutnya, JAS turut menyemak semula Garis Panduan Kualiti Udara untuk memasukkan had piawai PM2.5 menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Mengenai sama ada Malaysia perlu mengikut langkah Singapura menyaman empat syarikat Indonesia yang menjadi punca jerebu, beliau berkata, setiap isu memerlukan penyelesaian secara berhemah atas semangat setiakawan ASEAN.

“Malaysia begitu sinonim dengan diplomasi, lebih-lebih lagi Indonesia kemungkinan tiada banyak keupayaan teknologi untuk mengawal serta membendung pembakaran tanah gambut.

“Tindakan saman tidak akan meredakan jerebu, malah tiada penyelesaian jangka masa pendek.

“Agenda lebih utama ialah membantu Indonesia mengawal dan mengurangkan penerokaan tanah secara berleluasa.

“Nyatakan ketegasan Malaysia menerusi nota nantahan dan deklarasi ASEAN secara semangat setiakawan. Ini lebih penting,” katanya.

Sementara itu, UTM turut menubuhkan stesen sementara pemantauan kualiti udara bagi membantu warga kampus mengetahui keadaan sebenar jerebu.

Dr Mohd Fadhil berkata, satu pasukan bertindak jerebu dibentuk di peringkat universiti diketuai Pemangku Naib Canselor Profesor Dr Azlan Abd Rahman.

“Stesen berkenaan ditubuhkan berikutan stesen terdekat iaitu Larkin Lama terletak kira-kira 13 kilometer dari kampus universiti itu di Skudai, Johor.

“Stesen ini yang menggunakan dua alat pemantauan udara akan merujuk silang bacaan dari Stesen Larkin Lama yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar dan Stesen Singapura Utara,” katanya.

Stesen yang mula beroperasi Selasa lalu, menggunakan dua alat iaitu alat pengukur kewujudan zarah dalam udara dan alat pengukur elemen dalam gas.

Data dikumpul setiap sejam dan rumusan akan dihantar kepada pasukan bertindak jerebu yang akan menyelaras hebahan dan mekanisme ‘respons’ tindakan.

“Hasil pemantauan ini akan dikumpul dan dikemukakan kepada kerajaan sebagai cadangan untuk menambah baik pemantauan udara negara pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 9:53 AM