Musim ini sepatutnya menjadi masa paling sesuai untuk Eden Hazard melakukan perubahan bagi membuktikan dia seorang pemain terbaik seperti diperkatakan sebelum ini.

Selepas dinobatkan pemain terbaik Liga Perdana Inggeris 2014/15 hasil daripada aksi mengagumkan, pemain Belgium itu diramal akan mengukuhkan reputasinya untuk menjadi antara pemain terbaik dunia.

Justeru, sesuatu yang mengejutkan apabila aksinya bukan saja tidak meningkat tetapi Hazard dilihat mempamerkan aksi biasa sepanjang musim ini. Dia masih gagal menjaringkan gol sepanjang tujuh perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris kecuali sudah dua kali membantu melakukan gerakan gol.

Persoalannya, apa sudah terjadi kepada pemain berusia 24 tahun itu? Mengapa tiba-tiba dia tidak menyengat selepas menjadi pemain paling mengagumkan buat skuad Blues musim lalu?

Di sini disenaraikan tiga sebab mengapa aksinya merudum dan apa yang boleh dilakukan Jose Mourinho untuk memperbaiki situasi itu.

1. Terlalu bergantung kepadanya dan jangkaan lebih daripada sepatutnya.

Setiap pemain di dunia tidak kira betapa hebatnya, ada kalanya mengalami penurunan prestasi. Musim lalu Chelsea terlalu bergantung kepada Hazard untuk menjaringkan gol dalam setiap permainan dan kini apabila dia tidak lagi menyerlah, mereka bergelut untuk mencari alternatif. Dia bermain dengan baik biarpun Blues tewas dan jelas sekali pemain lain masih menjadikannya sumber inspirasi. Berikutan kegagalan Diego Costa menjumpai gawang lawan, harapan besar diletakkan di bahu Hazard dan tekanan itu jelas sekali ‘memakan dirinya’.

Perkara itu menjadi punca utama yang membimbangkan Mourinho kerana ketiadaan pemain lain yang boleh disandarkan harapan untuk meledak dan mencipta gerakan gol. Chelsea jelas bergelut untuk menembusi benteng lawan tanpa larian tajam Hazard dan gaya lincahnya di dalam dan luar kotak penalti.

2. Kurang kepelbagaian

Corak permainan Hazard sudah boleh diramal dengan lawan mudah membaca pergerakannya. Dia akan memulakan gerakan dari bawah sebelum cuba memintas benteng pertahanan berbanding berlari dari belakang untuk rakan sepasukan mengambil bola.

Kebanyakan pasukan sudah menilai corak permainannya dan penggunaan rakaman video memberi kelebihan kepada mereka untuk memikirkan cara bagaimana untuk menghalangnya daripada berada dalam kotak penalti. Berikutan saingan Liga Perdana dilihat kurang menggunakan pendekatan taktikal berbanding liga lain di Eropah, tiada pemain yang mampu bergerak bebas dalam setiap permainan.

Hazard nyata mendapati agak sukar buatnya untuk memecah benteng pertahanan apabila lawan meletakkan 10 pemain bertahan.

Satu sebab utama pencetus kejayaannya musim lalu adalah kerana dia menjadi penghubung dengan penyerang lain namun pendekatan itu tidak digunakan musim ini.

Disebabkan itu mudah buat pasukan lawan membaca pergerakan untuk mengawal Hazard, sekali gus mengekang Chelsea.

3. Pemain satu pasukan

Tiada siapa menjangkakan Hazard akan kembali meledak dalam masa terdekat, begitu juga tiada yang menjangkakan Chelsea berada di kedudukan ke-15 selepas tujuh perlawanan.

Tapi Blues secara keseluruhan juga sebenarnya gagal. Kecuali Asmir Begovic, Cesar Azpilicuet dan Kurt Zouma, tiada seorang pemain boleh mengatakan dia beraksi pada tahap terbaik.

Seperti dikatakan sebelum ini, pemain lain tidak boleh terlalu mengharapkan Hazard untuk membantu mereka setiap masa.

Hazard masih lagi seorang pemain yang bijak namun secara berseorangan dia tidak mampu untuk menanggung segala bebanan keseluruhan pasukan setiap minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 8:58 AM