SEORANG askar Indonesia menarik hos air untuk memadamkan kebakaran di tanah gambut di Ogan Ilir, wilayah Sumatera Selatan kelmarin.
Reuters

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia berharap hujan membantu memadamkan kebakaran hutan di negara itu yang menjadi punca jerebu di rantau ini, kata seorang pegawai semalam.

Ketua agensi pengurusan bencana Indonesia, Willem Rampangilei berkata, kerajaan membelanjakan banyak wang dan mengerahkan ribuan anggota serta beberapa pesawat untuk memadamkan kebakaran itu.

“Bagaimanapun, api hanya dapat dipadamkan sepenuhnya oleh hujan dan kaedah bom air dari pesawat. Jadi ia mengambil sedikit masa.

“Kami berharap menjelang akhir Oktober atau awal November masalah jerebu ini akan diselesaikan,” katanya.

Agensi itu sebelum ini menyasarkan untuk memadamkan kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera menjelang pertengahan Oktober.

Jerebu tebal yang berpunca daripada asap kebakaran hutan menyebabkan sekolah ditutup dan penerbangan tergendala di Malaysia dan Singapura.

Sebahagian wilayah di Indonesia juga menghadapi keadaan jerebu yang lebih buruk sehingga menjejaskan kesihatan penduduknya.

Kebakaran hutan di Indonesia itu terjadi hampir setiap tahun akibat aktiviti pembersihan hutan untuk pertanian.

Pihak berkuasa Indonesia memberitahu, empat syarikat dan lebih 200 individu disiasat kerana dipercayai mencetuskan kebakaran hutan.

Jakarta sering dikritik negara jirannya kerana gagal menangani isu itu yang berlaku hampir setiap tahun.

Pihak berkuasa Indonesia juga menolak bantuan dari Singapura termasuk pesawat khas bagi memadam kebakaran.

Willem memberitahu krisis itu kini berjaya dikawal Indonesia.

“Kami sangat berterima kasih dengan tawaran bantuan itu, tetapi semuanya sudah berjaya kami kawal dan terdapat kemajuan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 6:42 AM