CASA luluskan penerbangan Malindo Air dari Kuala Lumpur ke Perth.

Kuala Lumpur: Malindo Air, syarikat penerbangan hibrid tempatan mengumumkan pihaknya sudah menerima kebenaran daripada Lembaga Keselamatan Penerbangan Awam Australia (CASA) untuk melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia sekali gus menjadi negara kelapan dalam rangkaian laluan antarabangsa syarikat terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Murthy berkata, pihaknya optimis perkhidmatan baru itu akan meningkatkan perdagangan dan pelancongan antara Australia dan Malaysia dengan Perth bakal menyumbang kepada usaha meluaskan liputan syarikat di luar negara serta mengukuhkan kedudukan asas pelanggan dalam pasaran strategik di Asia.

“Kami amat teruja apabila mendapat kelulusan daripada CASA untuk memulakan penerbangan Malindo Air ke Australia dan menetapkan Perth sebagai destinasi Australia pertama. Kami amat berterima kasih kepada CASA atas sokongan dan kerjasama berterusan sepanjang proses pemohonan ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Perkhidmatan sebanyak 11 kali seminggu itu akan bermula pada 11 November ini dengan Malindo Air menawarkan tambang promosi bagi laluan terbabit bermula RM599 untuk kelas ekonomi dan RM1,4999 (kelas perniagaan) sehala termasuk faedah seperti elaun bagasi percuma, hiburan dalam penerbangan, makan dan minuman ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 6:29 AM