PAUL Khiu Khon Chiang (tiga kanan) bersama pegawainya menunjukkan rokok seludup yang dirampas. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas 15,400 kotak rokok dianggarkan bernilai lebih RM143,851 berserta bot dan kenderaan pelbagai guna di Jeti Nelayan Sungai Sanglang dekat Pontian, pagi tadi.

Dalam serbuan 1.50 pagi itu, polis yang melakukan intipan mendapati beberapa individu sedang memunggah kotak dipercayai rokok seludup dari bot ke kenderaan terbabit.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, menyedari kehadiran polis, empat lelaki dipercayai warga tempatan melarikan diri ke dalam hutan paya bakau yang berhampiran.

"Usaha mengesan dan mencari dilakukan sekitar hutan tetapi tidak berjaya.

"Pemeriksaan ke atas muatan bot pula mendapati terdapat 15,400 kotak rokok pelbagai jenis," katanya ketika sidang media di Markas PPM Wilayah Dua di Tampoi di sini, hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan jumlah rampasan termasuk bot dan MPV mencecah lebih RM313,851.11.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 5:51 PM