Rohani melancarkan Kempen 90 Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2015, hari ini. FOTO Hayati Ibrahim
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Sebanyak 1,644 kes keganasan rumah tangga dilaporkan sejak Januari sehingga April tahun ini dengan 1,236 kes daripada jumlah itu membabitkan wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, jumlah kes berkenaan adalah berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang juga rakan strategik kementerian.

Menurutnya, keganasan rumah tangga membabitkan penderaan fizikal, mental, sosial dan ekonomi menyebabkan mangsa mengalami trauma yang lebih rumit.

"Biasanya, mangsa memilih untuk tidak melepaskan diri kerana takut akan pelaku, selain berdepan dengan tekanan sosial misalnya daripada ahli keluarga dan rakan-rakan,"katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen 90 Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2015 di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Rohani turut melancarkan Garis Panduan Pengendalian Kes Keganasan Rumah Tangga yang bertujuan membolehkan semua maklumat mengenai peranan dan tanggungjawab serta prosedur yang digunapakai oleh agensi terbabit didokumenkan sebagai sumber rujukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 12:42 PM