GAMBAR yang tersebar di Internet menunjukkan kesan satu daripada letupan di Guanxi.
Agensi

Beijing: Enam orang terbunuh apabila 15 bom surat meletup di selatan China.

Media milik kerajaan melaporkan, letupan berlaku di lebih 10 lokasi, termasuk pejabat kerajaan, sebelum cuti kebangsaan di negara itu yang bermula hari ini.

Agensi berita Xinhua melaporkan, puluhan mangsa cedera apabila bahan letupan yang dimasukkan dalam bungkusan surat ekspres meletup.

Akhbar tempatan Nanguo Morning News melaporkan, letupan berlaku di sekurang-kurangnya 13 lokasi di Guanxi, wilayah pedalaman China.

Ia termasuk di sebuah penjara, pejabat kerajaan dan di pusat beli-belah.

Stesen televisyen CCTV memetik seorang pegawai kanan polis sebagai berkata, letupan berpunca daripada pelbagai jenis bahan letupan. Kejadian itu dikategorikan sebagai perbuatan jenayah.

Gambar yang beredar di Internet menunjukkan sebuah bangunan hampir runtuh kesan daripada letupan itu.

Saksi juga mendakwa melihat beberapa kenderaan di jalan raya musnah.

“Siasatan awal menunjukan bahan letupan itu disembunyikan di dalam bungkusan penghantaran ekspres,” lapor Xinhua.

Perbuatan mengebom pejabat kerajaan tempatan dan kawasan awam pernah berlaku di China, membabitkan penduduk yang tidak berpuas hati dengan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:36 AM