JUTTING senyum ketika dibawa dari mahkamah.

Hong Kong: Ahli perbankan ‘psiko’ warga Britain, Rurik Jutting semalam dihantar untuk menjalani ujian psikiatrik untuk menentukan sama ada dia boleh dibicarakan atas tuduhan membunuh dua pelacur Indonesia.

Jutting, 29, menghadiri prosiding pendek di mahkamah di sini sebelum hakim menangguhkan kes itu selama dua minggu bagi membolehkan penilaian itu dibuat. Dia akan berada dalam tahanan sepanjang tempoh itu.

Ketika dibawa keluar dari mahkamah, Jutting yang dikawal ketat dilihat ketawa kecil di tempat duduknya di belakang van penjara.

Peguamnya berkata, pihaknya belum bersetuju menyertai lakonan semula kejadian di lokasi jenayah dilakukan, namun tidak menolak kemungkinan akan memberi persetujuan pada masa akan datang.

Mayat Sumarti Ningsih, 23, ditemui di dalam bagasi di apartmen Jutting di daerah Wan Chai, awal bulan ini.

Polis yang menyiasat rumah itu selepas mendapat panggilan pada perayaan Halloween lalu turut menemui Seneng Mujiasih, 29, dalam keadaan parah dengan kecederaan pada leher dan punggungnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:06 AM