Oleh Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seorang penunggang motosikal berusia 25 tahun maut digilis treler di Kilometer 9.9 Lebuhraya Besraya berhampiran Sungai Besi, pagi tadi.

Kejadian jam 7.15 pagi itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa bergesel dengan tayar belakang treler berkenaan ketika ketika kenderaan itu membelok ke kawasan perindustrian di situ.

Menurut Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan, lokasi kejadian mempunyai dua lorong dan kemalangan berlaku di lorong kiri.

Katanya, mangsa, Shah Rezan Saadan, 25, berasal dari Sandakan, Sabah, maut di lokasi kejadian akibat diseret dan digilis treler terbabit.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 2:21 PM