SEKUMPULAN paramedik berusaha menyelamatkan askar rejim Zionis yang cedera teruk selepas ditikam di Tel Aviv, semalam.

Baitulmaqdis: Seorang askar Israel cedera parah selepas ditikam seorang penduduk Palestin di sebuah stesen bas di Tel Aviv, semalam.

Kejadian berlaku ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai kemungkinan intifada baru dilancarkan dan merebak ke bandar raya berkenaan.

Jurucakap perkhidmatan ambulans Magen David Adom berkata, tentera Israel itu berusia kira-kira 20 tahun.

Polis berkata, lelaki Palestin berkenaan menikam tentera itu berulang kali dan mereka menangkapnya tidak lama kemudian.

Polis juga mendakwa lelaki itu berasal dari bandar Nablus di Tebing Barat dan serangan berkenaan bermotifkan politik.

Lima hari lalu, seorang penduduk Palestin merempuh keretanya dengan menyasarkan pejalan kaki di tengah Baitulmaqdis, menyebabkan dua rakyat Israel mati.

Lelaki Palestin berkenaan terbunuh selepas ditembak oleh anggota polis Israel. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:05 AM