MOHD Khamil (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pelajar International ICAM.

Shah Alam: DRB-Hicom Bhd (DRB-Hicom) tidak mempunyai rancangan untuk menaikkan harga kereta dalam pengurusannya buat masa ini walaupun kedudukan ekonomi yang mencabar.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Mohd Khamil Jamil berkata, kumpulan itu sudah menyediakan pelan bagi menampung impak ekonomi yang perlahan serta penyusutan ringgit.

Beliau berkata, pelan itu akan dijalankan di pejabat korporat dan di seluruh syarikat operasi menerusi pengurusan aliran tunai dan langkah sensitif kos.

“Segmen automotif secara semula jadinya terjejas disebabkan kebanyakan keluaran kami membabitkan komponen siap bina, manakala hartanah kami turut terjejas berikutan kurang pembeli yang layak untuk memperoleh pinjaman perumahan,” katanya pada majlis pelepasan kumpulan pertama penuntut International College of Automotive (ICAM) ke United Kingdom, di sini, semalam.

ICAM adalah sebahagian daripada Hicom University College Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh DRB-Hicom. Perniagaan teras konglomerat itu meliputi automotif, perkhidmatan dan hartanah.

Bagaimanapun, Mohd Khamil berkata, keadaan itu tidak serius memandangkan kumpulan sentiasa mengambil langkah menangani impak penurunan nilai ringgit.

“Buat masa ini, kami tidak akan menaikkan harga kerana kami sensitif kepada kehendak rakyat, oleh itu kami tidak menggunakan (kedudukan) ini sebagai peluang untuk menaikkan harga,” katanya.

DRB-Hicom yang mempunyai 10 syarikat pakar dalam pengilangan dan kejuruteraan, mengimport bahan mentah, namun sebahagian besar keperluannya membabitkan keluaran tempatan. Oleh itu ia tidak banyak terjejas akibat penyusutan ringgit.

“Kami menyerap kos kerana kami sensitif terhadap pembangunan ekonomi negara dan mahu membantu rakyat dan kerajaan menangani kesukaran yang dihadapi sekarang,” katanya. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 6:02 AM