RUANG masuk ke sebuah hotel dipenuhi selut akibat banjir lumpur selepas Taufan Dujuan melanda di Wulai.

Taipei: Tiga orang terbunuh dan lebih 300 cedera apabila taufan Dujuan melanda Taiwan.

Taufan berkenaan kemudian membadai bandar Putian di timur China. Bagaimanapun, tidak ada laporan mengenai sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa.

Sebahagian besar yang cedera di Taiwan terkena serpihan yang terbang ditiup angin kencang atau terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Lebih 12,000 penduduk dipindahkan dan hampir 3,000 ditempatkan di pusat perlindungan sementara.

Pihak berkuasa berkata, sehingga malam tadi, 175,000 masih terputus bekalan elektrik.

Antara yang terbunuh ialah seorang lelaki berusia 54 tahun yang ‘diterbangkan’ angin kencang di sebuah kawasan binaan.

Seorang lelaki berusia 70 tahun pula mati selepas terjatuh sementara seorang wanita berusia 41 tahun mati dalam kemalangan jalan raya.

Persembahan konsert kumpulan Bon Jovi yang sepatutnya berlangsung di Taipei pada Isnin dan Selasa, dibatalkan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 5:49 AM