JADUAL kerja Elizad padat.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Jadual penggambaran Siti Elizad Sharifuddin, 31, padat meskipun sudah mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya, Shamsul Baharin Rahman pada Januari lalu. Gelaran isteri juga tidak membataskannya melakonkan apa saja watak.

Kembali popular selepas menjayakan drama Teman Lelaki Upahan, Elizad sekali lagi digandingkan dengan Ungku Ismail (El) dalam telefilem berjudul Jubah Pink Airin untuk RTM.

Pastinya berita ini disambut gembira peminat yang masih dibuai keseronokan menonton keserasian pasangan ini dalam Teman Lelaki Upahan.

“Berikutan kejayaan Teman Lelaki Upahan, ramai peminat mahu kami digandingkan lagi. Namun, ia bukan mudah kerana bergantung kepada kesesuaian sesebuah naskah.

“Mereka pasti suka apabila kami digandingkan dalam telefilem ini. Saya melakonkan watak gadis yang suka besosial manakala Ungku pula lelaki warak.

“Penggambaran dilakukan dalam masa terdekat dan saya memang tak sabar mahu kembali ke lokasi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Elizad turut mempelbagaikan lakonannya dengan membawakan watak komedi menerusi telefilem Mimi Tapau dan Ayah Den Lopeh serta mengacara program Primadona.

“Dah biasa sangat berlakon cerita serius, apabila ditawarkan berlakon drama komedi saya sangat suka. Tak dinafikan agak susah kerana saya bukan pelakon komedi.

“Kalau nak suruh saya menangis, memang tiada masalah, tetapi untuk buat kelakar bagi saya memang mencabar.

“Saya beruntung kerana mendapat sokongan dan tunjuk ajar daripada pelakon berpengalaman. Saya juga seronok kerana suasana di lokasi meriah dengan gelak tawa,” katanya.

Mengulas cabaran sebagai pengacara pula, Elizad mengakui lebih me­nyukai gaya penyampaian yang santai.

“Saya diundang untuk beberapa episod Primadona dan ia sangat menyeronokkan. Sepertimana berlakon, saya buat ulang kaji setiap topik dibincangkan.

“Jika ditawarkan mengacara, saya lebih tertarik dengan program santai. Saya mahu belajar dengan Awal Ashaari, Dynas Mokhtar dan Zizan Razak.

“Apapun lakonan tetap jadi keutamaan kerana rasa lebih puas. Saya suka buat rujukan sebelum masuk set penggambaran dan berusaha buat yang terbaik,” katanya.

Selain itu, Elizad turut menjayakan telefilem Travelling Beruang bagi membantu kanak-kanak menghidap kanser.

“Saya memegang watak Kat dalam telefilem yang ditayangkan di TV3 pada November ini. Kat bertemu Adit (Ungku Ismail) di Kemboja, Vietnam dan China sebagai sukarelawan membantu kanak-kanak,” katanya.

Elizad menggunakan pengalaman menjaga arwah ibu­nya yang sakit selama lima tahun serta mempu­nyai saudara yang menghidap kanser bagi menghayati watak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 5:02 AM