KELUARGA mangsa tidak dapat menahan sebak melihat jenazahnya. FOTO ihsan pembaca
Oleh Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: Pengayuh beca disahkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika membawa pelancong bersiar-siar di hadapan Muzium Rakyat, Jalan Kota Melaka, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 1.20 petang itu, pengayuh beca berkenaan, Syed Abdullah Abdul Karim, 48, dikatakan bersama tiga lagi rakannya yang mengayuh beca berasingan membawa sekumpulan kira-kira sembilan pelanconga warga China bersiar-siar di sekitar kota warisan.

Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian mangsa yang hanya membawa seorang pelancong itu dikatakan menuju ke tinggalan sejarah A'Famosa dari Bangunan Jam Besar.

"Bagaimanapun ketika dalam perjalanan dia memberhentikan becanya berhampiran Dataran Pahlawan kerana ada di antara kumpulan pelancong itu mahu ke tandas untuk membuang air.

"Ketika itu mangsa ada mengadu kepada rakannya yang dia mengalami sesak nafas sebelum tiba-tiba rebah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan selain berkata, kes diklafikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 8:42 PM