ANGGOTA bomba membersihan lokasi kejadian tumpahan asid nitrik di Jalan Kolombong, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
ANGGOTA bomba membersihan lokasi kejadian tumpahan asid nitrik di Jalan Kolombong, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Oleh Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Sesi pembelajaran ratusan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kolombong, terganggu seketika selepas berlaku tumpahan asid nitrik di atas jalan raya berdekatan sekolah berkenaan, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, semua murid di sekolah berkenaan dipindahkan ke kawasan selamat lebih 500 meter dari lokasi berlakunya tumphan asid nitrik terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Sandrego Salleh berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 9.37 pagi itu, sepasukan bomba termasuk pasukan HAZMAT dari Balai Bomba Kota Kinabalu dikerah ke lokasi kejadian untuk pembersihan.

"Tumpahan asid nitrik itu berpunca daripada lori yang membawa muatan cecair berkenaan hilang kawalan ketika melalui bulatan di hadapan SK Kolombong menyebabkan lapan tong berisi asid nitrik terjatuh dan tumpah di atas jalan raya.

"Anggota bomba seterusnya mengarahkan pihak sekolah untuk membawa murid ke kawasan selamat lebih 500 meter dari lokasi kejadian untuk mengelak mereka terhidu bau asid berkenaan.

"Anggota bomba juga mengarahkan pemandu yang menggunakan jalan raya itu supaya menutup cermin kenderaan mereka," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, sehingga kini kerja-kerja pembersihan masih giat dijalankan dan tiada kecederaan dilaporkan termasuk pemandu lori terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 12:11 PM