King di dalam gedung IKEA di Cheras yang bakal dibuka akhir November ini.
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ikea Malaysia (Ikea) terus menjadikan Malaysia destinasi pelaburannya dengan membuka cawangan kedua di Cheras, Kuala Lumpur yang dijangka beroperasi pada akhir November ini.

Cawangan itu menambah jumlah rangkaiannya di Asia Tenggara iaitu masing-masing dua di Singapura, satu di Thailand dan dua di negara ini.

Pengarah Peruncitan Ikea Malaysia, Singapura dan Thailand Mike King berkata, gedung itu mempunyai ruang membeli-belah seluas 41,000 meter persegi iaitu 20 peratus lebih besar daripada cawangan sedia ada di Damansara.

Beliau berkata, Ikea Cheras terletak kira-kira lima minit dari pusat bandar mampu menarik kehadiran pengunjung.

“Kami meluaskan aktiviti pelaburan di negara ini berikutan pemintaan tinggi daripada orang ramai yang mengemari produk inovasi keluaran Ikea.

“Walaupun keadaan ekonomi dilihat kurang memberangsangkan ketika ini, permintaan produk kami di Malaysia tetap ada dan penawaran harga berpatutan membantu orang ramai membeli di Ikea,” katanya pada majlis tamat pembinaan Ikea cawangan Cheras, di sini, semalam.

Pasukan kerja di Ikea Cheras kini rancak menyiapkan reka bentuk dalaman, persediaan operasi dan latihan untuk pekerja.

Aktiviti merekrut pekerja di seluruh negara dilakukan bagi membantu operasi gedung baru berkenaan.

Mike berkata, syarikatnya menerima sambutan menggalakkan dan ada lebih 300 individu dengan pelbagai kepakaran dan bakat menyertai tenaga kerja Ikea.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 6:28 AM