Madrid: Juara Eropah, Barcelona memulakan tempoh dua bulan tanpa khidmat Lionel Messi apabila Bayer Leverkusen bertandang ke Nou Camp awal pagi esok dengan harapan menggunakan kesempatan berikutan ketiadaan bintang Argentina itu.

Messi mengalami kecederaan ligamen lutut kiri ketika Barca mengatasi Las Palmas 2-1 hujung minggu lalu.

Luis Suarez memainkan peranan selepas ketiadaan Messi dengan dua gol bagi memastikan kelab Catalunya itu mencatat semula kemenangan selepas dibelasah Celta Vigo 4-1 pada perlawanan terdahulu.

Khidmat Suarez dan Neymar amat ditagih selepas ini ketika skuad Barca yang dibelenggu masalah kecederaan berdepan hingga lapan perlawanan tanpa Messi.

“Dia pemain terbaik di dunia dan memang patut kami terasa ketiadaannya,” kata pemain tengah Sergio Busquets.

Ketika Claudio Bravo, Thomas Vermaelen dan Rafinha turut diketepikan kerana kecederaan, jurulatih Luis Enrique hanya memiliki 15 pemain senior untuk dipilih bagi beberapa minggu akan datang.

“Kami berdepan malang dengan kecederaan, lebih lagi apabila kami tidak boleh mendaftarkan pemain.”

Barca dilarang mendaftarkan pemain baru selama setahun kerana melanggar peraturan FIFA mengenai pembelian pemain remaja.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 5:49 AM