MANGSA meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO Arifin Salleh
Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my


Melaka: Lelaki warga emas maut apabila motosikal ditunggang dirempuh kereta di Jalan Gangsa-Krubong, Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Krubong, 7.30 malam tadi.

Jurucakap polis berkata, mangsa, Yap Ah Kip, 75, dari arah Jalan Gangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Paya Rumput, menunggang motosikal bersendirian di lorong kiri namun secara tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke lorong kanan.

Kereta dipandu seorang wanita berusia awal 20-an dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal ditunggang mangsa.

Mangsa kemudian tercampak ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 2:10 AM