Kualiti udara di pekan Tanjung Malim bertambah baik berbanding semalam dengan bacaan IPU 99 setakat 8 pagi tadi. FOTO Rosman Shamsudin
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi dan Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Sesi persekolahan di semua sekolah yang diarah tutup hari ini berikutan masalah jerebu akan berjalan seperti biasa esok.

Sekolah terbabit ialah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Bahagian Sri Aman, Kuching, Betong dan Samarahan di Sarawak serta Tanjung Malim di Perak.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya berkata, langkah itu diambil selepas mengambil kira keadaan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dipantau pada 12 tengah hari tadi menunjukkan penurunan positif di kawasan berkaitan.

"Semua sekolah di kawasan berkenaan yang ditutup pada hari ini hendaklah dibuka seperti biasa pada esok.

"Selain itu, semua Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh negara diingatkan supaya dapat terus memantau maklumat bacaan IPU yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sekiranya berlaku perubahan terhadap bacaan IPU kepada keadaan Tidak Sihat (IPU 101-200) atau Sangat Tidak Sihat (IPU 201-300), maka pihak berkaitan boleh mengambil tindakan di peringkat masing-masing.

"Ia berdasarkan Surat Siaran KPM Bil. 17 Tahun 2013 bertarikh 7 Ogos 2013 (Langkah-Langkah Kementerian Pendidikan

Malaysia Bagi Menjamin Kesihatan Dan Keselamatan Murid-Murid Di Sekolah-Sekolah Yang Berada Dalam Kawasan Berjerebu Yang

Dianggap Kritikal)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 4:29 PM