TUJUH orang tertuduh dibawa ke di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tujuh lelaki termasuk seorang doktor tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini masing-masing atas pertuduhan membunuh serta bersubahat membunuh Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais, pada 4 September lalu.

Tertuduh bagi kes bunuh iaitu G Gunasekaran, 43; R Dinishwaran, 23; A Thinesh Kumar, 22; M Vishwanath, 25; S Nimalan, 22; S Ravi Chandaran, 34; hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 52, yang didakwa bersubahat juga mengganguk faham terhadap pertuduhan. 

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, enam tertuduh itu didakwa membunuh Kevin dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya Sentul ke No 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 September lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kunaseegaran pula didakwa bersubahat melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 302 Kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 11:38 AM