LELAKI Palestin yang bertopeng menyiapkan batu di dalam Masjid Al-Aqsa.
AFP

Baitulmaqdis: Penduduk Palestin dan pasukan keselamatan Israel bertempur di pekarangan Masjid Al-Aqsa pada hari terakhir Aidiladha, semalam.

Dalam kenyataan polis, pemuda Palestin dilaporkan membaling batu serta mercun terhadap polis dan pasukan polis sempadan ‘yang bertindak balas menggunakan kaedah antirusuhan.’

Keadaan kembali tenang menjelang tengah hari dengan kebanyakan anggota polis bersurai, namun aktivis Arab Israel masih kekal di dalam masjid berkenaan.

Peningkatan lawatan orang Yahudi yang semakin kerap membimbangkan penduduk Islam kerana khuatir peraturan berhubung lokasi itu akan diubah.

Setakat ini, orang Yahudi dibenarkan melawat, tetapi tidak bersembahyang atau berdoa untuk mengelak mencetuskan ketegangan.

Lawatan orang Yahudi dihentikan semalam manakala sekatan usia bagi lelaki Islam memasuki pekarangan itu ditamatkan.

Beberapa perayaan keagamaan Yahudi sejak beberapa minggu lalu melihat peningkatan dalam lawatan golongan itu yang mencetuskan perbalahan.

Cabang radikal Pergerakan Islam di Israel dan Jawatankuasa Pemantauan Arab Tinggi (HAMC) yang mewakili masyarakat Arab di Israel menggesa umat Islam ke pekarangan itu untuk mempertahankannya.

Tinjauan AFP mendapati sekitar 150 orang di situ yang rata-rata memakai topi hijau Pergerakan Islam.

Wanita bernama Hala berkata: “Kami akan berada di sini sepanjang hari untuk menghalang Yahudi menyerang Al-Aqsa.”

Beberapa anggota Parlimen Arab Israel juga dilihat di situ.

Pegawai Pergerakan islam Sheikh Qairi Eskender berkata:” “Kami bimbang mereka membahagikan pekarangan Al-Aqsa kerana pelampau Yahudi mahu mengambil kawalan masjid ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:52 AM